354,000 terbunuh dalam perang di Ukraine, mungkin berlarutan lepasi 2023 - Dokumen A.S

Agensi
April 12, 2023 07:15 MYT
Sebanyak 354,000 askar Rusia dan Ukraine telah terbunuh atau cedera dalam perang di Ukraine yang sedang menuju ke arah konflik berlarutan melebihi 2023. - Gambar AP
WASHINGTON: Sebanyak 354,000 askar Rusia dan Ukraine telah terbunuh atau cedera dalam perang di Ukraine yang sedang menuju ke arah konflik berlarutan melebihi 2023.
Perkara itu didedahkan dalam beberapa dokumen perisikan Amerika Syarikat yang disiarkan dalam talian.
Dokumen itu kelihatan seperti penilaian rahsia Amerik Syarikat tentang perang serta beberapa pengintipan negara itu terhadap sekutunya.
Jika sahih dokumen itu, ia menawarkan pandangan yang jarang berlaku mengenai sudut pandang Washington tentang salah satu konflik paling memautkan di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.
Agensi berita tidak dapat mengesahkan dokumen itu secara bebas dan beberapa negara termasuk Rusia dan Ukraine telah mempersoalkan kebenarannya, manakala pegawai Amerika syarikat berkata, beberapa fail kelihatan telah diubah.
Satu penilaian 23 Februari 2023, bertajuk "Pertempuran untuk Wilayah Donbas Kemungkinan Menuju Kebuntuan Sepanjang 2023", mengatakan Rusia tidak mungkin dapat mengambil bahagian timur Ukraine itu.
Dokumen itu mendedahkan, kempen Rusia di wilayah Donbas berkemungkinan menuju ke arah kebuntuan sekaligus menggagalkan matlamat Moscow untuk menawan seluruh wilayah itu pada 2023.
Jelasnya, taktik ini telah mengurangkan simpanan tentera dan senjatai Rusia ke tahap yang boleh meletihkan unit Rusia dan menggagalkan matlamat perang Moscow serta mengakibatkan perang berlarutan melebihi 2023.
Sementara itu, Moscow berkata, ia tidak tahu sama ada dokumen itu benar dan ia mungkin cubaan untuk menimbulkan perbalahan.
Menurut penilaian yang disusun oleh Agensi Perisikan Pertahanan Amerika Syarikat, Rusia telah mengalami 189,500 hingga 223,000 jumlah korban, termasuk 35,500 hingga 43,000 terbunuh dalam peperangan dan 154,000 hingga 180,000 cedera.
Manakala Ukraine telah mengalami 124,500 hingga 131,000 jumlah korban, termasuk 15,500 hingga 17,500 terbunuh dalam perang dan 109,000 hingga 113,500 cedera dalam perang.
Angka itu adalah kira-kira 10 kali lebih besar daripada mana-mana angka korban awam yang diterbitkan sama ada Moscow atau Kyiv.
Kedua-dua pihak tidak memberikan data tepat pada masanya mengenai kehilangan tentera.
#Amerika Syarikat #angka korban #Rusia #Ukraine
;