35 terbunuh dalam letupan di pasar Baghdad ketika persiapan menjelang Aidiladha
Astro Awani
Julai 20, 2021 09:11 MYT
Julai 20, 2021 09:11 MYT
BAGHDAD: Sekurang-kurangnya 35 pengunjung sebuah pasar di Baghdad, Iraq maut dalam insiden letupan bom pada Isnin.
Mangsa yang terkorban termasuk wanita dan kanak-kanak, lapor Reuters yang memetik sumber polis.
Lebih 60 yang lain dilaporkan cedera, antaranya parah.
Letupan berlaku di sebuah pasar ketika penduduk sibuk membuat persiapan akhir untuk menyambut hari raya Aidiladha, kata Kementerian Dalam Negeri Iraq dalam satu kenyataan.
"Serangan pengganas menggunakan bom buatan sendiri di Pasar Woheilat di Sadr City, di timur Baghdad, telah menyebabkan beberapa mangsa terkorban dan yang lain cedera," kata kementerian itu.
Serangan dipercayai didalangi kumpulan militan Daish yang mengaku bertanggungjawab, kata agensi berita kumpulan Nasheer di Telegram.
Difahamkan serangan dilakukan seorang militannya dengan meletupkan jaket berisi peledak ketika berada di kawasan sibuk dengan pengunjung.
Sumber hospital memaklumkan jumlah kematian mungkin meningkat ekoran mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal.
Perdana Menteri Mustafa al-Kadhimi mengadakan mesyuarat tergempar dengan komandan keselamatan tertinggi bagi membincangkan serangan itu, kata pejabat perdana menteri dalam satu kenyataan ringkas.
"Kejahatan yang amat dahsyat, menyasarkan orang awam di kota Sadr pada malam Aidiladha.
"Kami tidak akan tenang selagi terorisme tidak dibasmi dari akarnya," kata Presiden Barham Salih dalam tweetnya.
Serangan pada Isnin itu berlaku selepas letupan di pasar Maridi di Sadr City pada 30 Jun yang mencederakan sekurang-kurangnya 15 orang.
Pada April, Daish mengaku meletupkan sebuah kereta yang mengorbankan empat orang dan mencederakan 20 yang lain di kawasan yang sama.
Daish juga mengaku bertanggungjawab dalam dua insiden pengeboman bunuh diri di kawasan beli-belah yang sesak pada Januari.
Lebih 30 terbunuh manakala 110 yang lain cedera dalam serangan yang dianggap paling dahsyat di Baghdad dalam tempoh tiga tahun.
Pengeboman terbaharu di ibu kota Iraq ini berlaku seminggu setelah kebakaran yang meragut nyawa lebih 90 orang di wad koronavirus sebuah hospital di bandar Nasiriyah di tenggara Iraq.
Pegawai percaya bahawa kebakaran itu disebabkan oleh letupan tangki oksigen.
Kebakaran serupa di hospital Baghdad pada April mengorbankan sekurang-kurangnya 82 orang.
#Baghdad
#bom bunuh diri
#letupan di pasar awam
#Pasar Woheilat
#Sadr City
#bom buatan sendiri
#daish
#Nasiriyah
#militan