35 pelajar positif COVID-19 antara 500,000 duduki ujian kelayakan universiti
Khairunnisa Kasnoon
Disember 3, 2020 05:00 MYT
Disember 3, 2020 05:00 MYT
SEOUL: Ratusan ribu pelajar di Korea Selatan, termasuk 35 pelajar yang disahkan postif COVID-19, mengambil ujian masuk universiti di sebalik penularan virus yang memaksa pihak berkuasa memperketat peraturan penjarakan sosial.
Kementerian Pendidikan memaklumkan kira-kira 500,000 pelajar mengambil ujian tersebut yang dijalankan di 1,380 lokasi di seluruh negara pada Khamis.
Bagi memastikan kelancaran ujian, pihak berkuasa akan menghentikan latihan ketenteraan dan latihan penerbangan buat sementara waktu.
Antara lain, pejabat kerajaan dan swasta memberi kelonggaran kepada kakitangan mereka untuk masuk lewat ke pejabat bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Ujian tahun ini pada awalnya dijadualkan pada 19 November namun ditangguhkan kerana pandemik.
Korea Selatan pada Khamis melaporkan 540 kes jangkitan baharu, hari kedua berturut-turut mencatatkan jumlah harian melebihi 500 kes.
Minggu lalu negara itu mengenakan sekatan yang lebih ketat di Seoul dan beberapa kawasan lain bagi menyekat penyebaran wabak tersebut.