33 juta rakyat Nigeria dijangka hadapi masalah keterjaminan makanan yang teruk pada 2025

Bernama
November 12, 2024 05:30 MYT
Banjir baru-baru ini memusnahkan 1.6 juta hektar tanah pertanian, menjejaskan kemampuan untuk menyara 13 juta orang setiap tahun. - Foto X/UNOCHAAU
GENEVA: Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa berkata 33 juta orang di Nigeria dijangka menghadapi masalah keterjaminan makanan yang teruk menjelang 2025 dan mendesak bantuan disegerakan, lapor Agensi Anadolu.
Angka ini mewakili "peningkatan mendadak 25 juta yang memerlukan bantuan hari ini," kata Chi Lael, jurucakap WFP untuk Nigeria, dalam satu taklimat PBB di Geneva.
"Tidak pernah sebelum ini terdapat begitu ramai orang di Nigeria yang mengalami kekurangan makanan," tegas Lael.
Beliau berkata: "Data menunjukkan sokongan segera diperlukan untuk mengelakkan potensi bencana makanan dan nutrisi dengan peningkatan harga makanan secara tiga kali ganda selepas banjir yang memusnahkan tanaman dan pemberontakan selama 15 tahun di timur laut yang menyempitkan kehidupan."
Mengenai punca utama masalah keterjaminan makanan di negara ini selain konflik, beliau berkata dasar ekonomi, khususnya pemansuhan subsidi bahan api, menyebabkan harga bahan api meningkat sebanyak 500 peratus dan mengakibatkan peningkatan harga makanan ruji antara 100 hingga 300 peratus.
Ini menjadikan makanan asas tidak mampu dimiliki oleh 90 juta penduduk Nigeria yang berpendapatan kurang AS$2 sehari, keluhnya.
Beliau berkata banjir baru-baru ini memusnahkan 1.6 juta hektar tanah pertanian, menjejaskan kemampuan untuk menyara 13 juta orang setiap tahun.
Untuk menyelesaikan krisis kelaparan ini, jurucakap itu berkata bantuan makanan yang menyelamatkan nyawa perlu diberikan dengan segera dalam tempoh enam bulan akan datang.
"Ini adalah untuk memastikan mereka yang berada dalam fasa (Klasifikasi Fasa Keterjaminan Makanan Bersepadu) IPC tiga dan empat, iaitu krisis dan kecemasan, yang sangat rentan, menerima bantuan makanan dengan segera," kata Lael.
Beliau berkata tindakan pencegahan di kawasan luar bandar, seperti memberikan petani yang rentan dengan wang tunai, benih dan baja bagi menghentikan peningkatan kelaparan, adalah langkah yang diperlukan.
Selain itu, beliau berkata langkah mitigasi perlu diambil untuk mengurangkan skala krisis masa depan, termasuk sokongan segera dalam nutrisi, kesihatan, bekalan makanan, air, sanitasi dan kebersihan.
Beliau menekankan keperluan untuk respons kolektif yang melibatkan rakan antarabangsa, masyarakat madani Nigeria, sektor swasta, serta kerajaan negeri dan persekutuan untuk mengelakkan bencana pada masa depan.
-- BERNAMA
#Nigeria #keterjaminan makanan #WFP #kekurangan makanan
;