321 penumpang cemas, pesawat melintas angin kencang
Astro Awani
Februari 19, 2014 20:22 MYT
Februari 19, 2014 20:22 MYT
Sembilan penumpang pesawat syarikat penerbangan Cathay Pacific cedera apabila kapal terbang yang mereka naiki dilanda angin kencang di udara ketika sedang terbang melintasi ruang udara Jepun.
Menurut kenyataan syarikat terbabit, dua krew penerbangan dan enam penumpang dikerjarkan ke hospital setelah pesawat jenis Boeing 747 itu mendarat di Hong Kong.
Seorang lagi penumpang yang mengalami kecederaan bagaimanapun tidak ditahan di hospital.
Ketika kejadian, pesawat terbabit sedang dalam penerbangan dari San Francisco menuju ke Hong Kong dan membawa 321 penumpang bersama 21 anak kapal.
Salah seorang penumpang berkata, dia berasa seolah-olah sedang menaiki ‘roller-coaster’ ketika kejadian yang berlangsung selama dua minit.
Menurutnya, beberapa penumpang tercampak dari tempat duduk masing-masing dan terhantuk pada ruang di atas kerusi.