320 anggota keselamatan Sudan, 20,000 pelarian lari ke Chad

Bernama
April 20, 2023 12:31 MYT
Kira-kira 320 anggota keselamatan Sudan meninggalkan medan pertempuran dan menyeberangi sempadan untuk menyerah diri kepada tentera Chad. - Fail/AP
DOUALA (Cameroon): Kira-kira 320 anggota keselamatan Sudan meninggalkan medan pertempuran dan menyeberangi sempadan untuk menyerah diri kepada tentera Chad, menteri pertahanan Chad mengumumkan Rabu.
Seramai 320 anggota tentera dan polis telah memasuki wilayah Chad, di mana "semuanya telah dilucutkan senjata dan ditahan," lapor Agensi Anadolu, memetik Jeneral Daoud Yaya Brahim ketika bercakap pada sidang media.
"Perang ini tidak membabitkan kami," katanya dipetik media dalam talian tempatan N'Djamena Actu.
Dia juga menyatakan ketidakupayaan Chad untuk membendung penyebaran konflik yang akhirnya, akan membawa kepada "penipuan akaun, kecurian dan konflik komunal."
Chad memutuskan untuk menutup sempadannya dengan Sudan pada Sabtu selepas pertempuran tercetus antara pasukan tentera dan Rapid Support Forces (RSF).
Sejak itu, ketua negara Chad, Mahamat Idriss Deby Itno, telah mengadakan perbincangan dengan pihak terbabit, menggesa gencatan senjata dan dialog, lapor Agensi Anadolu.
Sementara itu, beribu-ribu pelarian Sudan dilaporkan tiba di Chad di tengah-tengah pertempuran yang berlanjutan di Sudan, menurut Agensi Pelarian PBB.
Dianggarkan 10,000 hingga 20,000 pelarian Sudan telah didaftarkan, kata Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dalam satu kenyataan.
Misi bersama agensi PBB termasuk UNHCR, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Program Makanan Sedunia (WFP) dapat "menyaksikan kemasukan pelarian baharu Sudan" di tiga tapak pertama yang dilawati, kata Laura Lo Castro, wakil UNHCR di Chad pada Selasa.
UNHCR menyuarakan "kebimbangan yang mendalam" terhadap keselamatan orang awam di kawasan yang terjejas akibat pertempuran.
"Peningkatan keganasan ini hanya akan menghalang tindak balas kemanusiaan dan menjejaskan kestabilan dalam mencari penyelesaian terhadap berjuta-juta orang yang terpaksa melarikan diri di rantau ini," menurut agensi itu.
Chad menempatkan lebih 600,000 pelarian, termasuk hampir 400,000 dari Sudan, menurut angka terkini UNHCR.
-- BERNAMA
#Sudan #anggota keselamatan #Chad #UNHCR
;