31,000 tentera Ukraine terbunuh sejak pencerobohan Rusia - Presiden Zelensky
Agensi
Februari 25, 2024 07:00 MYT
Februari 25, 2024 07:00 MYT
KYIV: Volodymyr Zelensky berkata, sebanyak 31,000 askar Ukraine telah terbunuh semasa pencerobohan besar-besaran Rusia.
Presiden Ukraine itu, bagaimanapun, tidak akan berkongsi angka anggota pasukan pertahanannya yang cedera kerana itu akan membantu perancangan tentera Rusia.
Lazimnya, pegawai Ukraine tidak mendedahkan angka korban kepada umum, dan anggaran lain yang dibuat ialah lebih tinggi.
Menurut Zelensky, pengumuman beliau mengenai jumlah terkini kematian itu dibuat sebagai tindak balas kepada angka yang berganda tingginya seperti didakwa Rusia.
"(Sejumlah) 31,000 askar Ukraine telah terkorban dalam perang ini. Bukan 300,000 atau 150,000 atau apa sahaja yang didakwa oleh (Vladimir) Putin dan kumpulan pembohongnya. Tetapi setiap kehilangan ini adalah kerugian besar bagi kami," kata Zelensky pada Ahad.
Bercakap mengenai kerugian yang lebih besar dalam perang, Encik Zelensky berkata, puluhan ribu orang awam telah mati di kawasan Ukraine yang diduduki oleh Rusia tetapi jumlah sebenar tidak diketahui.
"Saya tidak tahu berapa ramai daripada mereka yang mati, berapa ramai yang dibunuh, berapa ramai yang dibunuh, diseksa, berapa ramai yang dihantar pulang," sambung beliau.
Amat jarang sekali Ukraine memberikan angka kematian tentera dan anggaran yang dibuat pihak lain pula memberikan jumlah yang lebih tinggi.
Pegawai Amerika Syarikat (AS) pada Ogos lalu menganggarkan bilangan askar Ukraine yang terbunuh ialah 70,000, manakala 120,000 lagi mengalami kecederaan.
Sementara itu, kerugian yang dialami Rusia pula, dakwa Zelensky, seramai 180,000 askar pasukan lawannya itu telah terbunuh dan puluhan ribu lagi cedera.
BBC Rusia dalam projek kerjasama dengan laman web Mediazona menyebut lebih 45,000 anggota perkhidmatan Rusia meninggal dunia.
Bagaimanapun, anggaran sebetulnya lebih besar daripada itu.
Pada bulan Februari pula, Kementerian Pertahanan United Kingdom menganggarkan bahawa 350,000 tentera Rusia telah terbunuh atau cedera.
Ucapan Presiden Zelensky dibuat selepas Menteri Pertahanannya, Rustam Umerov, menyeru sekutu Barat negara itu untuk menangguhkan bantuan ketenteraan.
Ukraine kini sedang mengalami pelbagai halangan dalam misinya untuk menghalau Rusia dari wilayahnya.
Menurut Umerov, kekurangan bekalan meletakkan Ukraine pada tahap yang lebih buruk "dalam matematik perang."
"Kami melakukan segala yang mungkin dan mustahil tetapi tanpa bekalan tepat pada masanya ia merugikan kami," katanya.
Jerman memberi amaran pada November bahawa rancangan Kesatuan Eropah (EU) untuk menghantar sejuta peluru meriam menjelang Mac tidak akan dipenuhi.
Pada bulan Januari, EU berkata, lebih separuh daripada ini akan sampai ke Ukraine pada tarikh akhir dan jumlah yang dijanjikan tidak akan ada sehingga penghujung 2024.
Presiden Zelensky berkata, salah satu sebab serangan balas yang sangat dinanti-nantikan oleh Ukraine tahun lepas tidak bermula lebih awal ialah kerana kekurangan senjata.
Serangan balas itu sebahagian besarnya gagal - salah satu daripada beberapa halangan yang dihadapi Kyiv selepas beberapa kejayaan awal dalam menangkis Rusia selepas ia menyerang pada Februari 2022.
Zelensky juga mencadangkan pada hari Ahad bahawa rancangan untuk serangan balas telah dibocorkan kepada Rusia lebih awal daripada masa.
Minggu lalu, telah diumumkan bahawa tentera Ukraine telah berundur dari bandar utama timur Avdiivka - kemenangan terbesar Moscow dalam beberapa bulan.
Sebahagian daripada kesalahan ini, jelas Zelensky, disebabkan bekalan senjata Barat yang goyah.
Sementara itu, pentadbiran Presiden AS, Jor Biden berkata, sekatan pakej bantuan pertahanan bernilai AS$60 bilion untuk Ukraine oleh Kongres menyumbang kepada kejatuhan bandar itu.
Pemimpin Barat berkunjung ke Kyiv pada Sabtu untuk menunjukkan solidariti dengan Ukraine ketika negara itu genap dua tahun diserang oleh Rusia dalam pencerobohan besar-besaran.
Dalam kunjungan itu, Itali dan Kanada mengumumkan telah menandatangani perjanjian keselamatan dengan Ukraine - mengukuhkan sokongan sehingga negara itu boleh menyertai NATO.
Perjanjian Kanada termasuk lebih daripada tiga bilion dolar Kanada dalam bantuan kewangan dan pertahanan.
Bukan Ukraine sahaja yang menghadapi masalah mendapatkan sumber aktiviti ketenteraannya.
Rusia juga dilaporkan sedang bergelut untuk menyediakan peluru dan senjata, menurut pegawai Barat.
“Keupayaan pengeluaran peluru domestik Rusia kini tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan konflik Ukraine,” dakwa seorang pegawai Barat.
Mereka mendakwa, Moscow berupaya meningkatkan bekalannya hanya dengan mencari sumber alternatif peluru dan senjata, namun, tidak menawarkan penyelesaian jangka panjang. - Agensi