300 penduduk dipindahkan akibat aktiviti gunung berapi di Filipina
Bernama
September 11, 2024 19:05 MYT
September 11, 2024 19:05 MYT
DUMAGUETE CITY (Filipina): Ratusan penduduk di beberapa buah kampung berhampiran Gunung Kanlaon di Canlaon City, Negros Oriental telah dipindahkan berikutan peningkatan aktiviti seismik gunung berapi itu yang mencetuskan ancaman kepada mereka, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Pemangku pegawai penerangan Canlaon City Edna Lhou Masicampo berkata setakat pagi Rabu, seramai 301 individu daripada 92 keluarga kini berada di pusat pemindahan dengan sebahagian daripada mereka tinggal bersama saudara-mara.
Mereka yang dipindahkan adalah dari Barangay Masulog, Barangay Pula, Barangay Malaiba dan Barangay Lumapao, yang semuanya terletak dalam zon bahaya kekal iaitu empat kilometer dari Gunung Kanlaon.
Masicampo berkata unit kerajaan tempatan (LGU) telah menyediakan pek makanan, kit dapur, kit kebersihan, kit tidur, kit keluarga, air dan pelitup muka sejak pemindahan wajib bermula pada petang Selasa.
Sementara itu, Datuk Bandar Jose Chubasco Cardenas telah mengarahkan penangguhan kelas di semua peringkat di sekolah awam dan swasta untuk tempoh yang tidak ditentukan berikutan gempa bumi tektonik-gunung berapi dan pelepasan sulfur dioksida yang berlebihan di Gunung Kanlaon.
Pembatalan kelas sebelum ini hanya terhad kepada empat kampung kritikal.
Laporan 24 jam terbaru dari Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs) menyatakan 337 gempa bumi gunung berapi telah direkodkan di Gunung Kanlaon sejak tengah malam 11 September.
Gunung berapi itu mengeluarkan 9,985 tan fluks sulfur dioksida (SO2) pada Selasa manakala kepulan wap setinggi 1,000 meter turut dicatatkan ketika deformasi tanah turut dikesan.
-- BERNAMA