30 tahun beroperasi, McDonald's tutup operasi di Rusia

Agensi
Mei 16, 2022 20:30 MYT
McDonald's Corp pada Isnin mengumumkan telah memulakan proses untuk menjual perniagaan di Rusia selepas 30 tahun beroperasi di negara itu. - Foto REUTERS
MOSCOW: McDonald's Corp pada Isnin mengumumkan telah memulakan proses untuk menjual perniagaan di Rusia selepas 30 tahun beroperasi di negara itu.
Langkah itu susulan pencerobohan Moscow ke atas Ukraine.
Syarikat itu berkata ia akan berusaha untuk meminta pembeli Rusia mengupah pekerja mereka dan akan terus membayar gaji mereka sehingga proses jualan ditutup.
Ketua Eksekutif Chris Kempczinski berkata dedikasi dan kesetiaan pekerja dan pelanggan kepada McDonald's' menjadikannya satu keputusan yang sukar,
'Walau bagaimanapun, kami mempunyai komitmen terhadap komuniti global kami dan mesti kekal teguh dalam nilai kami,' kata Kempczinski dalam satu kenyataan.
Mac lalu, McDonald's mengumumkan penutupan sementara 850 restorannya di negara itu, termasuk di lokasi ikonik, Dataran Pushkin.
Bagaimanapun gaji kira-kira 62,000 pekerja masih dibayar dalam tempoh itu.
McDonald's pertama di Rusia dibuka di Moscow lebih tiga dekad lalu, sejurus selepas kejatuhan Tembok Berlin.
Ia adalah simbol kuat meredakan ketegangan Perang Dingin antara Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet.
#Mcdonald's #Rusia #Ukraine #tutup operasi #Moscow #Chris Kempczinski #Pushkin
;