30 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel di Rafah
Astro Awani
Mei 26, 2024 07:40 MYT
Mei 26, 2024 07:40 MYT
SEKURANG-kurangnya 30 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara tentera rejim Israel di Rafah, kawasan di selatan semenanjung Gaza yang dikhususkan untuk pelarian.
Menurut pegawai perkhidmatan kecemasan awam dan kesihatan Palestin, serangan pada Ahad itu turut mencederakan puluhan rakyat Gaza.
Serangan berlaku di kawasan kejiranan Tel Al-Sultan di barat Rafah, di mana ribuan penduduk Gaza berlindung selepas ramai melarikan diri dari kawasan timur bandar itu sejak tentera rejim Israel memulakan serangan darat, dua minggu lalu.
Pengarah pejabat media Kerajaan Gaza yang dikendalikan Hamas, Ismail Al-Thawabta memaklumkan, jumlah kematian mungkin melebihi 30 orang.
Menurut Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah, hospitalnya di Rafah menerima kemasukan mangsa dan hospital lain juga turut menerima sejumlah besar pesakit.
Bagaimanapun, pihak rejim Israel enggan memberi sebarang komen susulan kejadian itu.
Menurut pegawai perubatan, angka kematian terkini tidak dapat dianggarkan akibat ramai yang cedera berada dalam keadaan kritikal.