30 rakyat Palestin syahid, kereta kebal Israel ceroboh tengah Gaza
Astro Awani
November 11, 2024 07:30 MYT
November 11, 2024 07:30 MYT
KAHERAH: Tentera Israel menghantar kereta kebal ke bahagian barat Kem Nuseirat di Gaza pada Isnin, dalam pencerobohan baharu ke kawasan tengah enklaf itu.
Pakar perubatan Palestin berkata, serangan tentera Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 30 orang sejak Ahad malam.
Penduduk berkata, kereta kebal Israel melepaskan tembakan ke dalam sektor kem itu menyebabkan keadaan panik dalam kalangan penduduk dan keluarga yang kehilangan tempat tinggal.
Mereka turut menyatakan, pencerobohan kereta kebal itu benar-benar mengejutkan.
Sesetangah penduduk tidak boleh keluar dan terus terperangkap di dalam rumah mereka.
Dengan perang di gaza kini memasuki bulan ke-14, Israel terus menceroboh Gaza dengan kejam kononnya cuba untuk menghapuskan pejuang Hamas sepenuhnya.
Puluhan ribu penduduk Palestin telah diberitahu untuk mengosongkan kawasan itu, mencetuskan kebimbangan bahawa mereka mungkin tidak akan dibenarkan pulang.
Peluang yang sudah tipis untuk gencatan senjata semakin surut pada hujung minggu apabila pengantara Qatar berkata, pihaknya menangguhkan usaha sehingga kedua-dua Israel dan Hamas menunjukkan kesediaan yang lebih besar untuk mencapai persetujuan.
Dalam serangan semalaman dan sehingga Isnin, pegawai kesihatan di Hospital Al-Awda di Nuseirat berkata, 20 orang terbunuh dalam siri serangan dari udara dan darat.
Di bandar Beit Lahiya di utara Gaza, pegawai perubatan berkata, empat orang terbunuh dalam serangan udara Israel.
Yang lain terbunuh dalam serangan udara Israel di Hospital Kamal Adwan berhampiran Beit Lahiya.
Pegawai perubatan berkata, tembakan Israel daripada dron mencederakan tiga pekerja perubatan di kemudahan itu.
Kempen tentera Israel telah meratakan sebahagian besar Gaza dan membunuh kira-kira 43,500 rakyat Palestin.