30 pelarian maut kerana kelaparan, malnutrisi di wilayah Gambella, Ethiopia
Bernama
September 21, 2023 17:02 MYT
September 21, 2023 17:02 MYT
MOGADISHU: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Ethiopia (EHRC) berkata, sekurang-kurangnya 30 pelarian telah meninggal dunia akibat kelaparan dan malnutrisi di wilayah Gambella, Ethiopia dan menggesa supaya bantuan makanan berkhasiat yang mencukupi segera disambungkan kepada semua komuniti pelarian.
Menurut EHRC, wilayah itu menerima hampir 400,000 pelarian pada akhir Ogos dan bantuan makanan telah dihentikan sejak Mei di sebahagian kem pelarian Gambella, manakala kem-kem lain juga tidak menerima bantuan makanan baharu sejak Jun tahun ini.
Pelarian meninggal dunia akibat kelaparan dan malnutrisi selain diserang ketika mereka meninggalkan kem untuk mencari makanan, Agensi Anadolu memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh EHRC pada Rabu.
Suruhanjaya itu berkata, pemberhentian bantuan makanan telah menyumbang kepada kematian yang berkaitan dengan kelaparan dan mengancam untuk menggugat kestabilan pelarian yang sudah rapuh dan hubungan masyarakat yang menjadi tuan rumah.
Perkhidmatan Pelarian dan Pulang (RRS) kerajaan persekutuan juga sedang bekerjasama rapat dengan agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan dan rakan kemanusiaan untuk mengatasi situasi itu dengan memulakan semula pengedaran makanan kepada pelarian secepat mungkin.
Menurutnya, konflik bersenjata di wilayah Amhara, yang telah meningkat sejak Ogos dan kedatangan berterusan pelarian dari negara-negara jiran ke wilayah Amhara, Benishangul-Gumuz, Gambella dan Somali, telah menyumbang kepada peningkatan yang ketara dalam keperluan kemanusiaan.
Suruhanjaya itu menggesa Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) dan Program Makanan Sedunia PBB (UNWFP) untuk memastikan "penyelesaian pantas usaha penyelarasan yang berterusan, penggemblengan sumber dan langkah pentadbiran berkaitan untuk membolehkansambungan segera bantuan makanan yang mencukupi kepada semua komuniti pelarian dengan segera."
-- BERNAMA