30 keranda berisi mumia berusia 3,000 tahun ditemui di Mesir

Agensi
Oktober 20, 2019 18:59 MYT
Sepasukan ahli arkeologi Mesir menemui 30 keranda kayu kuno menempatkan mumia di Kota Luxor, Mesir yang masih dalam keadaan baik
Sepasukan ahli arkeologi Mesir menemui 30 keranda kayu kuno yang menempatkan mumia di Kota Luxor, Mesir.
Ia sekali gus menjadikan penemuan itu yang terbesar dalam lebih dari satu abad.
Menurut Reuters pada Ahad, Kementerian Antikuiti Mesir berkata, keranda kayu kuno berkenaan ditemui di tempat bersembunyi di tanah perkuburan Al-Asasif di pinggir barat Luxor.
“Ini adalah keranda manusia pertama yang ditemui sejak akhir kurun ke-19," kata Menteri Antikuiti Mesir, Khaled El-Enany.
Keranda yang diukir dan dicat berusia 3,000 tahun itu berada dalam keadaan yang baik dari segi pemuliharaan, warna dan tulisannya.
Ketua ekskavasi, Mostafa Waziri berkata, peti-peti berkenaan berisi mayat imam lelaki, wanita dan kanak-kanak.
Keranda-keranda itu difahamkan berasal dari abad ke-10 sebelum masihi di bawah pemerintahan Dinasti Firaun ke-22.
Kesemua hasil penemuan itu akan melalui proses restorasi sebelum dipindahkan ke bilik pameran di Muzium Mesir yang bakal dibuka tahun depan, kata kementerian itu.
#keranda #kuno #Mesir #mumia #purba #wanita
;