30 kawasan di Jawa Tengah isytihar tindak balas kecemasan

Bernama
Julai 24, 2024 15:15 MYT
Kawasan seperti Wonogiri, Klaten dan Cilacap amat terdedah kepada kemarau, kata Suharyanto ketika berucap di Semarang semasa Mesyuarat Koordinasi Pengendalian Kemarau di Jawa Tengah. - Gambar fail
SEMARANG: Sekurang-kurangnya 30 daerah dan bandar di Jawa Tengah mengisytiharkan status tindak balas kecemasan sebagai persediaan menghadapi potensi kemarau dan kebakaran hutan, kata Ketua National Disaster Mitigation Agency (BNPB) Suharyanto, pada Selasa.
Kawasan seperti Wonogiri, Klaten dan Cilacap amat terdedah kepada kemarau, kata Suharyanto ketika berucap di Semarang semasa Mesyuarat Koordinasi Pengendalian Kemarau di Jawa Tengah.
Kerajaan tempatan dan agensi mitigasi bencana wilayah (BPBD) telah melaksanakan langkah-langkah pencegahan termasuk mengagihkan air bersih ke kawasan yang terjejas seperti Wonogiri dan Klaten, lapor Agensi Berita ANTARA.
"BNPB juga akan membantu mengagihkan air kepada masyarakat," katanya.
Menurut laporan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) hujan sekitar 50 milimeter (mm) dijangka direkodkan di Jawa Tengah pada minggu ketiga Julai 2024.
"Namun, ramalan BMKG mengenai kemarau tahun ini tidak seteruk pada 2023 kerana tiada El Nino pada 2024," kata Suharyanto.
Ketua BNPB mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada kerana wilayah berkenaan masih berpotensi mengalami kemarau.
BNPB turut menggesa semua BPBD daerah dan bandar untuk memantau kawasan gunung dan tapak pelupusan sampah.
Suharyanto berharap melalui pemantauan ini, bencana kebakaran yang menjejaskan gunung dan tapak pelupusan sampah tahun lalu dapat dielakkan pada tahun ini.
-- BERNAMA
#potensi kemarau dan kebakaran hutan #National Disaster Mitigation Agency #Suharyanto #kebakaran hutan Indonesia
;