3 warga Malaysia maut nahas di New Zealand
Asyraf Roslan
Disember 7, 2019 13:21 MYT
Disember 7, 2019 13:21 MYT
Tiga rakyat Malaysia terkorban manakala dua lagi cedera parah dalam satu kemalangan di Lebuhraya Nasional 1, utara Kaikoura di New Zealand, pada Jumaat.
Kemalangan yang melibatkan sebuah kereta dan lori itu berlaku kira-kira jam 3.10 petang waktu tempatan.
Buat masa ini identiti mangsa masih belum lagi disahkan, namun dipercayai mereka sekeluarga berasal dari Sabah.
Dua mangsa kemalangan yang cedera dihantar ke Hospital Wellington untuk rawatan.
Punca kemalangan masih lagi disiasat.
Kejadian tersebut turut disahkan wakil Wisma Putra yang memaklumkan bahawa Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand akan melawat mangsa yang cedera dalam masa terdekat.