3 rakan suspek insiden bom marathon Boston ditahan

Astro Awani
Mei 2, 2013 22:15 MYT
Tiga rakan kolej suspek kejadian bom marathon di Boston dihadapkan ke mahkamah dimana mereka berdepan tuduhan memusnahkan bahan bukti yang dikaitkan dengan serangan tersebut.
Azamat Tazhayakov dan Dias Kadyrbayev, masing-masing warga Kazakhstan dituduh membuang beg sandang dan computer riba milik suspek utama serangan, Dzhokar Tsraenaev.
Seorang lagi rakan Tsarnaev, Robel Phillipos yang merupakan warga Amerika Syarikat dituduh berbohong kepada pasukan penyiasatan.
Menurut kertas pertuduhan mahkamah, Tazhayakov dan Kadyrbayev dituduh memusnahkan bahan bukti penting.
Bagaimanapun ketiga-tiga mereka tidak dikaitkan berpakat melancarkan serangan pada acara tersebut.
Jika sabit kesalahan, kedua-dua warga Kazakhstan itu boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda US$250,000 manakala Phillipos bakal berdepan hukuman penjara tidak lebih daripada lapan tahun dan denda jika disabit kesalahan.
Sementara itu, Biro Siasatan Persekutuan (FBI ) berkata, mereka menemui mercun dalam beg sandang yang dibawa suspek utama.
“Hasil siasatan mendapati Dzhokar, pelajar kolej yang berusia 19 tahun ini adalah suspek utama insiden pengeboman manakala abangnya, Tamerlan Tsarnaev terbunuh dalam kejadian tembak menembak dengan polis semasa usaha memburu suspek,” kata jurucakap FBI.
Secara keseluruhan tiga orang terbunuh manakala 264 yang lain cedera akibat serangan bom marathon pada 15 April lepas.
#bom #Boston #Dzhokar Tsraenaev #FBI #marathon
;