3 pengakap maut, 12 cedera akibat renjatan elektrik di Filipina

Bernama
Disember 12, 2024 06:45 MYT
Kemalangan yang berlaku sekitar pukul 9 pagi waktu tempatan itu mengorbankan pengakap senior berusia 17, 18, dan 22 tahun. - Gambar hiasan
MANILA: Tiga pengakap maut dan 12 lagi cedera selepas terkena renjatan elektrik pada pagi Khamis ketika memindahkan khemah di sebuah tapak perkhemahan di Zamboanga City, selatan Filipina, menurut laporan polis, lapor Xinhua.
Ketua Polis Zamboanga City Kolonel Polis Kimberly Molitas berkata kepada pemberita bahawa kemalangan itu berlaku apabila hujung logam khemah menyentuh kabel elektrik hidup.
Kemalangan yang berlaku sekitar pukul 9 pagi waktu tempatan itu mengorbankan pengakap senior berusia 17, 18, dan 22 tahun.
Penganjur meminta para pengakap memindahkan khemah terbabit sebelum majlis pembukaan perkhemahan untuk menyediakan tempat teduh kepada peserta.
Insiden tragis itu menyebabkan penganjur membatalkan jambori pengakap selama empat hari yang dirancang dengan penyertaan lebih 2,000 orang.
-- BERNAMA
#Pengakap #renjatan elektrik #tapak perkhemahan #kabel elektrik hidup
;