3 juruterbang jet pengebom maut terpelanting dari pesawat
Astro Awani
Mac 23, 2021 05:34 MYT
Mac 23, 2021 05:34 MYT
MOSCOW: Tiga juruterbang jet pengebom Rusia maut setelah terpelanting keluar dari pesawat apabila kerusi lenting mereka diaktifkan secara tidak sengaja.
Menurut Kementerian Pertahanan Rusia, dalam kejadian pada Selasa itu, empat kru udara sedang melakukan pemeriksaan penerbangan jet pengebom jarak jauh Tu-22M3 di pangkalan udara di wilayah Kaluga, kira-kira 145 kilometer di barat daya Moscow.
Namun berlaku kerosakan pada sistem kerusi lenting yang melantunkan mereka keluar dari pesawat, lapor AP.
Disebabkan ketinggian tidak mencukupi untuk payung terjun dibuka, tiga daripada empat kru tersebut maut akibat cedera parah.
Mangsa keempat walau bagaimanapun terselamat dan dimasukkan ke hospital.
Media Rusia melaporkan mangsa yang terkorban termasuk Kolonel Vadim Beloslyudtsev, komander unit pengebom yang ditempatkan di pangkalan udara Shaikovka dekat Kaluga.
Menurut pakar, pengaktifan sistem penyelamatan secara tidak sengaja sangat jarang berlaku. Ia kemungkinan disebabkan oleh kerosakan elektrik atau kesilapan manusia.
Tu-22M3 ialah jet pengebom jarak jauh dengan enjin supersonik berkembar yang mampu membawa senjata nuklear.
#jet pejuang Rusia
#kerusi lenting
#kru udara
#Juruterbang
#terpelanting
#Kementerian Pertahanan Rusia
#pangkalan udara
#Tu-22M3