3 bayi cedera ditikam pekerja pusat jagaan
Agensi
September 21, 2018 05:19 MYT
September 21, 2018 05:19 MYT
Tiga bayi, dan dua individu dewasa cedera parah selepas ditikam di sebuah pusat jagaan harian di New York, Amerika Syarikat.
Menurut polis, kejadian tikam itu berlaku pada kira-kira jam 4 pagi Jumaat waktu tempatan di Flushing, Queens.
Polis berkata, dua bayi perempuan masing-masing berusia 3 hari, dan satu bulan telah ditikam di bahagian perut.
Manakala seorang lagi bayi perempuan mengalami kecederaan di telinga, dagu dan bibir.
Bapa salah seorang kanak-kanak terbabit serta seorang wanita yang merupakan pekerja di pusat jagaan tersebut turut ditikam.
Polis menemui seorang wanita warga emas berusia 52 tahun, yang disyaki sebagai suspek, di tingkat bawah rumah berkenaan.
Wanita itu telah mengelar pergelangan tangannya, dan kini sedang ditahan di hospital.
Polis memberitahu, dua bilah pisau telah ditemui di tempat kejadian.
Suspek bagaimanapun belum didakwa, dan motif serangan masih dalam siasatan.