3 akan didakwa berhubung kes kematian Tangmo Nida

Astro Awani
April 3, 2022 07:30 MYT
Jabatan Siasatan Khas Thailand mempertimbangkan untuk mengklasifikasikan kes berkaitan kematian Tangmo sebagai kes khas. - Gambar fail/Gempak
POLIS menahan dan akan mendakwa tiga individu berhubung kematian pelakon terkenal Thailand, Tangmo Nida Patcharaveerapong yang mati selepas terjatuh dalam sungai, Februari lalu.
Bangkok Post melaporkan, pada Ahad, seorang wanita berusia 35 tahun ditahan di Balai Polis Muang di daerah Muang di Nonthaburi, Bangkok.
Dia akan didakwa atas tuduhan kecuaian sehingga menyebabkan kematian Tangmo, 37.
Wanita itu adalah salah seorang daripada lima individu yang menaiki bot laju bersama Tangmo, ketika dia terjatuh ke dalam Sungai Chao Phraya pada malam 24 Februari. Mayatnya ditemui dua hari kemudian, tidak jauh dari tempat dia terjatuh.
Pihak berkuasa berkata, wanita berkenaan menjadi orang ketiga yang menghadapi pertuduhan yang sama.
Sebelum ini, dua individu lain iaitu masing-masing pemilik dan pemandu bot dinaiki Tangmo ketika kejadian, turut ditahan dan akan didakwa atas pertuduhan sama.
Pada Sabtu, pihak berkuasa memaklumkan, kedua-dua mereka turut akan didakwa atas pertuduhan tambahan iaitu memberi kenyataan palsu dan memusnahkan bukti.
Bangkok Post sebelum ini melaporkan, Jabatan Siasatan Khas (DSI) Thailand sedang mempertimbangkan untuk mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai kes khas.
Perkara itu bagaimanapun akan diputuskan selewat-lewatnya 15 April ini.
#Tangmo Nida #suspek ditahan #suspek akan didakwa #pelakon terkenal thailand
;