3.5 juta maut setiap tahun akibat krisis alam di Pasifik Barat - WHO
Bernama
April 7, 2022 07:00 MYT
April 7, 2022 07:00 MYT
MANILA: Kira-kira 3.5 juta orang maut setiap tahun di kawasan Pasifik Barat akibat faktor alam sekitar, menurut data yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis.
Pengarah WHO di wilayah Pasifik Barat, Takeshi Kasai berkata cuaca ekstrem seperti kemarau, gelombang panas, taufan, banjir, dan kebakaran hutan menjejaskan kesihatan orang ramai di pelbagai kawasan rantau itu.
Satu kematian setiap 14 saat direkodkan akibat pencemaran udara di Pasifik Barat, menurut WHO.
WHO juga memberi amaran peningkatan paras air laut dan ribut tropika sehingga mengurangkan akses kepada air bersih, menghakis pantai dan terumbu, dan mengancam kehidupan serta mata pencarian penduduk di kepulauan Pasifik.
Peningkatan penyakit bawaan vektor seperti denggi dan malaria, keracunan makanan dan minuman, hakisan tanah dan cuaca melampau membebankan lagi sistem kesihatan dan memberi kesan kepada golongan rentan.
"Ketika ini, pencemaran dan plastik ditemui sehingga di dasar lautan paling dalam dan gunung tertinggi serta telah memasuki rantaian makanan kita," menurut WHO pada Isnin dalam kenyataan akhbar bertajuk "Kesihatan dan alam sekitar".
"Ia petanda yang jelas, masa untuk bertindak sekarang," kata Kasai yang turut memberi amaran bahawa "jika kita tidak bertindak hari ini, kita mempertaruhkan kesihatan pada masa hadapan".
-- BERNAMA