3,000 kapal nelayan asing tinggalkan laut Indonesia

Astro Awani
Disember 4, 2014 12:36 MYT
SUSI: Kira-kira 3,000 kapal nelayan asing sudah meninggalkan perairan Indonesia sejak kebenaran menangkap ikan bagi kapal besar ditangguhkan. -Gambar fail
Lebih kurang 3,000 kapal nelayan asing sudah meninggalkan kawasan perairan Indonesia sejak republik itu menghentikan sementara kebenaran menangkap ikan bagi kapal besar, kata Menteri Perikanan dan Kelautan, Susi Pudjiastuti.
"Setelah moratorium, sudah 3,000 kapal asing yang meninggalkan wilayah perairan Indonesia" katanya seperti dipetik oleh laman web Berita Satu.
Susi sebelum ini mendedahkan satu daripada setiap enam buah kapal nelayan asing yang beroperasi di perairan Indonesia tidak berdaftar.
Beliau percaya ada penyelewengan dalam soal pendaftaran tersebut sehingga menyebabkan kerugian kepada republik itu dan menganggarkan kerugian itu boleh mencecah hingga AS$12.5 juta (RM43 juta) setahun.
Penangguhan keizinan itu adalah bagi membolehkan pihak berkuasa Indonesia memeriksa dan mengesahkan status kapal-kapal asing yang beroperasi di perairannya.
Usaha itu dilakukan dengan kerjasama polis, agensi pencegahan rasuah dan wang haram.
Dalam pada itu, Susi turut memaklumkan pihak sudah memberikan penjelasan kepada duta besar negara-negara jiran yang terlibat tentang kesungguhan republik itu mengawal sumber lautnya daripada dicuri.
Beliau mahu pihak berkuasa negara-negara jiran termasuk Malaysia melakukan kawalan yang ketat sebelum kapal-kapal nelayan dilepaskan masuk ke perairan Indonesia.
Awal minggu ini, Susi mengulangi ketegasan pemerintah Indonesia mengebom kapal nelayan asing yang beroperasi secara haram dalam perairannya.
Kata beliau, pihak kementeriannya akan menjalankan operasi itu dengan kerjasama Angkatan Tentera Laut Indonesia. Tindakan itu juga sebelum ini dilaporkan sudah dipersetujui oleh Presiden Joko Widodo.
Indonesia menganggap tindakan tersebut tidak bertentangan dengan sebarang ketetapan diplomatik yang telah dibuat dengan negara-negara jirannya kerana ia adalah sebahagian daripada penguatkuasaan undang-undangnya sendiri.
Malaysia sehingga ini berpendirian tindakan mengebom atau menggelamkan kapal nelayan tidak ada dalam memorandum persefahaman yang ditandatangani antara kedua negara pada 2012.
#ikan #Indonesia #Joko Widodo #kapal #nelayan #sumber laut
;