28 orang termasuk 5 orang awam, 10 askar, terbunuh dalam tempoh 24 jam di Pakistan

Bernama
Julai 16, 2024 15:15 MYT
Tentera menuding jari kepada kumpulan Hafiz Gul Bahadur dari Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) yang diharamkan.
KARACHI: Sekurang-kurangnya 28 orang membabitkan lima orang awam, 10 askar dan 13 suspek militan, terbunuh dalam dua serangan pengganas berasingan, termasuk satu serangan bom berani mati, di barat laut Pakistan dalam tempoh 24 jam yang lepas, kata tentera pada Selasa.
Sekumpulan militan bersenjata berat menyerang kawasan kantonmen di daerah Bannu di wilayah Khyber Pakhtunkhwa barat laut pada awal pagi Isnin sebelum seorang pengebom berani mati melanggar kenderaan sarat bahan letupan ke tembok perimeter kawasan itu, mengorbankan lapan askar.
"Percubaan untuk memasuki kawasan kantonmen berjaya digagalkan oleh anggota pasukan keselamatan, yang memaksa pengganas merempuh kenderaan sarat bahan letupan ke tembok perimeter kantonmen," lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan tentera.
Letupan berani mati itu, tambahnya, menyebabkan sebahagian tembok runtuh dan merosakkan infrastruktur bersebelahan, menyebabkan lapan anggota tentera terbunuh.
Dalam operasi yang menyusul, tentera berjaya memerangi penyerang, membunuh kesemua 10 suspek militan, tambah kenyataan itu.
Tentera menuding jari kepada kumpulan Hafiz Gul Bahadur dari Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) yang diharamkan, "yang beroperasi dari Afghanistan dan telah menggunakan tanah Afghanistan untuk merancang tindakan keganasan di dalam Pakistan sebelum ini."
"Pakistan telah secara konsisten menyuarakan kebimbangannya kepada kerajaan sementara Afghanistan, meminta mereka untuk menafikan penggunaan berterusan tanah Afghanistan oleh pengganas dan mengambil tindakan berkesan terhadap unsur-unsur itu," menurut kenyataan berkenaan.
Beberapa jam kemudian, satu lagi kumpulan pengganas menyerbu sebuah kemudahan kesihatan di pinggir daerah Dera Ismail Khan di Khyber Pakhtunkhwa pada lewat malam Isnin dan melepaskan tembakan "secara sembarangan", membunuh lima orang awam, kata kenyataan berasingan daripada tentera.
Dalam kejadian tembak-menembak, tiga pengganas dan dua anggota tentera turut terbunuh, tambahnya.
Mangsa yang terkorban termasuk dua pekerja kesihatan wanita dan kanak-kanak.
Islamabad menuduh militan TTP "yang berpangkalan di Afghanistan" melakukan serangan pengganas di dalam Pakistan, manakala Kabul menolak dakwaan itu.
-- BERNAMA
#Pakistan #serangan #bom #militan