28 maut dalam runtuhan salji di Afghanistan, jumlah korban dijangka meningkat

Agensi
Februari 25, 2015 18:07 MYT
Kelihatan seorang warga Afghanistan bersama anaknya berjalan mengharungi ribut salji di Kabul, Afghanistan pada Selasa, 24 Februari 2015. - Foto AFP/Massoud Hossaini
Sekurang-kurangnya 28 disahkan terkorban di Afghanistan, selepas salji tebal yang melanda beberapa wilayah mengakibatkan beberapa runtuhan salji besar pada Rabu.
Jumlah korban dijangka akan meningkat berikutan masih ramai yang dipercayai terperangkap di bawah timbunan salji.
Kebanyakan mangsa berada di Panjshir, wilayah utara Kabul, di mana salji tebal telah melanda kawasan itu sejak dua hari lalu sehingga menyebabkan beberapa jalan ditutup.
Keadaan itu turut menyukarkan kerja menyelamat di kawasan yang terjejas.
“Saya boleh mengesahkan setakat ini seramai 22 orang terbunuh dalam tragedi runtuhan salji di wilayah Panjshir dan kumpulan penyelamat kami masih mengumpul maklumat,” kata Timbalan Ketua Penguatkuasa Pengurusan Bencana Afghanistan Mohammad Aslam Sayas.
Aslam berkata seramai enam mangsa dilaporkan terkorban di wilayah tengah Bamiyan dan timur wilayah Baghdis.
Gabenor wilayah Panjshir, Abdul Rahman Kabiri melaporkan 31 mangsa telah ditemui penduduk tempatan dan pasukan penyelamat dengan hanya menggali menggunakan tangan.
"Kami telah mengumpulkan seramai 300 orang untuk membantu misi menyelamat namun kami tidak mempunyai peralatan yang mencukupi jadi kami menggunakan cangkul dan tangan untuk mencari mangsa yang terperangkap," kata Abdul Rahman.
Kira-kira 15 mangsa yang dijumpai dalam runtuhan salji itu menggalami gigitan fros dan beberapa kecederaan yang lain, kata gabenor itu.
Kebanyakan kawasan utara Afghanistan mengalami ribut salji sejak 48 jam lalu.
Sebahagian daripada ibu kota Kabul pula mengalami gangguan elektrik pada Selasa dan Rabu selepas ribut dan runtuhan salji memusnahkan beberapa kabel elektik di Lintasan Salang.
Runtuhan salji sering berlaku di kawasan pergunungan ketika musim sejuk melanda Afghanistan.
Antara tragedi yang pernah berlaku di Afghanistan adalah pada tahun 2012 yang mencatatkan seramai 145 mangsa dilaporkan hilang dan dianggap maut akibat runtuhan salji.
#Afghanistan #Baghdis #Panjshir
;