28 bayi pramatang dipindahkan dari Gaza ke Mesir
Astro Awani
November 21, 2023 09:15 MYT
November 21, 2023 09:15 MYT
GAZA: Sebanyak 28 bayi pramatang dipindahkan dari hospital terbesar di Gaza dibawa ke Mesir untuk rawatan segera pada Isnin.
Bayi yang baru lahir itu berada di Hospital Al-Shifa di utara Gaza di mana beberapa yang lain meninggal dunia selepas inkubator mereka tidak dapat berfungsi akibat ketiadaan bekalan elektrik semasa serangan tentera rejim Zionis Israel.
Minggu lalu, tentera Israel merampas Hospital Al-Shifa kerana kononnya mendakwa terdapat rangkaian terowong milik pejuang Hamas.
Ratusan pesakit, kakitangan perubatan dan pelarian Palestin meninggalkan Hosppital Al-Shifa pada hujung minggu.
Rakaman langsung yang disiarkan oleh stesen TV Al Qahera Mesir menunjukkan kakitangan perubatan mengangkat bayi dengan berhati-hati dari dalam ambulans dan meletakkan mereka dalam inkubator mudah alih, yang kemudiannya digerakkan melintasi tempat letak kereta ke arah ambulans lain.
Bayi-bayi itu dibawa ke hospital di Rafah supaya keadaan mereka dapat distabilkan sebelum dipindahkan ke Mesir.
Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, 12 bayi telah diterbangkan ke Kaherah.
Kesemua bayi yang dipindahkan "berlawanan dengan jangkitan serius".
Lapan bayi telah meninggal dunia sejak doktor di Hospital Al-Shifa memberikan amaran mengenai 39 bayi pramatang berisiko maut akibat kekurangan kawalan jangkitan, air bersih dan ubat-ubatan di wad neo-natal.