27 negara usir diplomat Rusia, gara-gara racun bekas perisik
Agensi
Mac 28, 2018 13:33 MYT
Mac 28, 2018 13:33 MYT
Sehingga kini, 27 buah negara telah mengumumkan pengusiran diplomat Rusia dari negara masing-masing sebagai bantahan kepada dakwaan penggunaan agen saraf oleh Rusia dalam skandal meracun bekas perisiknya Sergei Skripal dan anak perempuannya Yulia pada 4 Mac lalu.
Sehingga Rabu, 27 buah negara yang telah membuat perintah pengusiran terbabit adalah Amerika Syarikat yang telah mengusir 60 diplomat Rusia , Britain (23), Ukraine (13) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) ( 7).
Kanada, Perancis, Jerman dan Poland masing-masing mengusir 4 diplomat Rusia.
Republik Czech, Lithuania dan Moldova masing-masing mengusir 3 diplomat Rusia.
Albania, Australia, Denmark, Itali, Belanda dan Sepanyol masing-masing mengusir 2 diplomat Rusia.
Belgium, Croatia, Estonia, Hungary, Ireland, Finland, Latvia, Macedonia, Norway, Romania dan Sweden pula mengusir seorang diplomat Rusia dari negara masing-masing.
Pada 4 Mac lalu, Skripal, 66 tahun, dan Yulia, 33 tahun, dijumpai tidak sedarkan diri di sebuah pusat membeli-belah di Salisbury, Wiltshire, United Kingdom.
Menurut Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg, pengusiran yang dibuat adalah bagi menghantar mesej jelas kepada pentadbiran Presiden Rusia Vladimir Putin.
"Mesej kepada Rusia ialah terdapat akibat yang perlu ditanggung berpunca dari tindak tanduk pentadbiran yang tidak dapat diterima dan amat berbahaya itu," katanya.
Tambahnya, ia juga sebagai tindak balas kepada kurangnya rasa prihatin Moscow terhadap apa yang berlaku di Salisbury.
Susulan pengusiran yang semakin bercambah itu, Rusia dikatakan telah membuat keputusan untuk bertindak balas atas tindakan diplomatik tersebut.
Menurut Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov, Amerika Syarikat adalah negara yang bertanggungjawab disebalik tindakan pengusiran itu.
"Kami tahu dengan pasti bahawa ini adalah hasil tekanan hebat dan tindakan baru Washington di arena antarabangsa hari ini," jelasnya.
Sehingga Rabu, tindakan balas diplomatik yang diambil Rusia adalah dengan mengusir 23 diplomat Britain seminggu selepas Britain membuat keputusan pengusiran susulan skandal penggunaan agen saraf tersebut.