26 terbunuh dalam dua insiden di Afghanistan
Astro Awani
Ogos 1, 2018 10:13 MYT
Ogos 1, 2018 10:13 MYT
Seramai 26 dilaporkan terbunuh di Afghanistan dalam dua kejadian berasingan pada Selasa, menurut pihak berkuasa negara itu.
Kejadian pertama, satu serangan terancang terhadap bangunan kerajaan di timur Afghanistan, mengorbankan sekurang-kurangnya 15 orang, manakala kejadian kedua di sebatang jalan di barat negara itu, menyaksikan 11 terbunuh.
Kereta pengebom diletupkan di luar sebuah pusat repatriasi di bandar raya Jalalabad, membolehkan dua lelaki bersenjata menyerbu masuk ke kompaun premis itu dan memulakan pertempuran yang berlangsung sehingga enam jam.
Jurucakap gabenor wilayah, Attahullah Khogyani, berkata anggota militan itu membunuh sekurang-kurangnya 15 orang, termasuk seorang wanita dan seorang anggota polis.
Seramai 15 orang lagi cedera sebelum dua lelaki bersenjata itu dibunuh oleh pasukan keselamatan.
Sementara itu, 31 orang penjawat awam cedera dalam kejadian pengeboman melibatkan bas, yang berlaku di wilayah Farah, menurut ketua jabatan kesihatan wilayah, Abdul Jabar Shahiq.
Bas itu sedang dalam perjalanan dari wilayah Herat ke ibu kota, Kabul, dan wanita dan kanak-kanak merupakan antara yang terkorban.
Setakat ini, tiada siapa yang bertanggungjawab melakukan serangan itu.
#Afghanistan
#bangunan kerajaan
#bas
#Jalalabad
#Kabul
#kereta
#letupan
#maut
#militan
#pengeboman
#senjata
#Terbunuh