26 maut dalam serangan militan di hotel Somalia
Agensi
Julai 13, 2019 18:27 MYT
Julai 13, 2019 18:27 MYT
Seramai 26 terkorban manakala 56 lagi cedera dalam insiden tembakan dan pengebom bunuh diri di sebuah hotel terkenal di selatan Somalia.
Menurut presiden serantau, Ahmed Mohamed Islam dalam satu sidang media, mereka yang maut termasuk rakyat asing iaitu seorang warga Kanada, seorang rakyat British, dua warga Amerika Syarikat dan tiga lagi masing-masing dari Kenya dan Tanzania.
Serangan itu turut mencederakan dua warga China dan sekurang-kurangnya dua wartawan dan ahli kakitangan agensi Persatuan Bangsa Bersatu (PBB).
Seorang calon pilihan raya turut maut dalam kejadian itu.
"Calon presiden Jubbaland bernama Shuuriye antara yang maut," kata Ahmed.
Lapor Reuters, Pegawai polis Major Mohamed Abdi sebelum ini memberitahu bahawa pasukan keselamatan telah menamatkan serangan yang berlangsung semalaman itu.
Kumpulan militan Al Shabaab mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.
Serangan menyaksikan beberapa anggotanya menyerbu hotel itu selepas meletupkan bom kereta ketika para pemimpin dan penggubal undang-undang tempatan bertemu untuk membincangkan hal pilihan raya.
"Salah seorang daripada mereka adalah pengebom kereta bunuh diri, dua ditembak mati dan satu ditangkap hidup-hidup oleh pasukan keselamatan Jubbaland," katanya dalam sidang media itu.