26 maut dalam serangan hendap Boko Haram di timur laut Nigeria

Bernama
Mac 10, 2023 14:08 MYT
Sebuah kenderaan peronda polis yang dicuri pengganas juga berjaya ditemui hasil campur tangan pasukan tentera di kawasan itu. - Sumber foto AP
MAIDUGURI (Nigeria): Sekurang-kurangnya 26 orang terbunuh dalam serangan hendap yang dilancarkan Boko Haram di Borno timur laut Nigeria, lapor Agensi Anadolu.
Pesuruhjaya Polis Borno Abdu Umar memberitahu pemberita bahawa pengganas melakukan serangan berasingan ke atas pangkalan polis di bandar Magumeri dan berpuluh-puluh nelayan di bandar Dikwa di Borno.
"Di Dikwa, seramai 25 nelayan maut manakala seorang cedera," kata Umar.
Beliau berkata sebilangan besar pengganas menyerang pasukan khas polis di Magumeri, kira-kira 80 kilometer (50 batu) dari lokasi pertama.
"Kami berbalas tembakan dan kehilangan seorang daripada anggota kami, tetapi serangan itu berjaya dipatahkan," katanya.
Sebuah kenderaan peronda polis yang dicuri pengganas juga berjaya ditemui hasil campur tangan pasukan tentera di kawasan itu.
-- BERNAMA
#Nigeria #serangan hendap dilancarkan Boko Haram #bandar Magumeri #kecederaan akibat dilancarkan Boko Haram
;