26 maut bot penumpang terbalik di Bangladesh
Bernama
Mei 3, 2021 21:37 MYT
Mei 3, 2021 21:37 MYT
SEKURANG-kurangnya 26 orang terbunuh apabila sebuah bot sarat dengan penumpang melanggar penghadang berisi pasir di tengah Bangladesh pada Isnin, lapor Anadolu.
Ketua Polis Tempatan Miraj Hossain berkata sebaik menerima maklumat, polis bergegas ke tempat kejadian dan menjumpai 26 mayat serta lima penumpang yang terselamat.
Operasi mencari diteruskan dengan bantuan bomba.
Kejadian berlaku di Sungai Padma di daerah Madaripur, kira-kira 63 kilometer di selatan ibu kota Dhaka, menurut Hossain.
"Kemalangan itu berlaku ketika bot penumpang itu terlanggar penghadang berisi pasir yang diletakkan di sungai tersebut,” tambah Hossain.
Mangsa yang terselamat dibawa ke hospital manakala mayat dihantar untuk bedah siasat.
Kemalangan maut membabitkan bot penumpang sering berlaku di Bangladesh memandangkan jalan air menjadi laluan utama penduduk termasuk di beberapa sungai utama seperti Padma, Meghna, dan Jamuna.
Ribuan penumpang, kebanyakannya dari selatan negara itu, menggunakan jalan air untuk ke bandar raya Dhaka dan daerah lain.
Menurut rekod Jabatan Perkapalan negara itu, lebih 3,600 orang terkorban dan hampir 500 hilang selepas lebih 550 kapal penumpang terbalik antara tahun 1991-2020.
Bencana alam seperti ribut dan taufan, masalah penyelenggaraan kapal, pemandu tidak mahir, dan lebih muatan adalah penyebab utama nahas.