26,000 pelancong dipindahkan ketika Taufan Prapiroon hampiri selatan China

Bernama
Julai 21, 2024 21:45 MYT
Prapiroon mendarat di Hainan pada Ahad malam, membawa angin kencang dan hujan lebat ke pulau itu dan Teluk Beibu. - Foto X/NERV
NANNING: Lebih 26,000 pelancong di sebuah pulau pelancongan di Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang di selatan China telah dipindahkan ketika taufan keempat tahun ini menghampiri kawasan itu, kata pihak berkuasa tempatan pada Ahad, lapor Xinhua.
Menurut pentadbiran keselamatan maritim Beihai, kumpulan terakhir pelancong menaiki feri untuk meninggalkan Pulau Weizhou pada petang Ahad.
Perkhidmatan feri yang menghubungkan bandar dan pulau itu akan dihentikan pada Isnin dan Selasa.
Bandar itu telah meningkatkan perkhidmatan feri sejak Sabtu untuk membawa pelancong dari pulau itu sebagai langkah berjaga-jaga menjelang taufan Prapiroon yang kini diklasifikasikan sebagai ribut tropika teruk di tenggara Pulau Hainan.
Pihak berkuasa meteorologi berkata Prapiroon mendarat di Hainan pada Ahad malam, membawa angin kencang dan hujan lebat ke pulau itu dan Teluk Beibu.
Pihak berkuasa pengangkutan dan pelabuhan di Hainan telah menggantung perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi mengelilingi pulau itu dan operasi feri merentasi Selat Qiongzhou, serta menasihatkan kapal untuk berlindung.
-- BERNAMA
#taufan Prapiroon #Pulau Weizhou #pelancong #pulau hainan