256 gegaran susulan direkod selepas gempa di Laut Jawa

Bernama
Mac 26, 2024 14:09 MYT
Gempa yang berpusat di Laut Jawa, kira-kira 132 kilometer timur laut Tuban di kedalaman 10 kilometer, menghasilkan getaran kuat di Tuban, Bawean, Lamongan, Bojonegoro dan Surabaya. -Gambar fail/MetMalaysia
JAKARTA: Wilayah Jawa Timur mengalami gempa susulan sehingga 256 kali setakat Isnin, menurut agensi pengurusan bencana daerah (BPBD).
Pantauan BPBD Jawa Timur sehingga 6 pagi waktu tempatan mendapati rangkaian gempa kecil itu berikutan gempa bumi kuat 6.0 magnitud 11.22 pagi Jumaat lepas.
Gempa yang berpusat di Laut Jawa, kira-kira 132 kilometer timur laut Tuban di kedalaman 10 kilometer, menghasilkan getaran kuat di Tuban, Bawean, Lamongan, Bojonegoro dan Surabaya.
Getaran turut dirasakan di beberapa wilayah berhampiran seperti Jawa Tengah, Yogyakarta sehingga Kalimantan Selatan.
Gempa dengan 6.5 magnitud menyusul 3.52 petang hari yang sama, berpusat 130 kilometer timur laut Tuban di kedalaman 10 kilometer.
Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) hari ini melaporkan hampir 4,680 rumah di Gresik, Tuban, Lamongan, Sidorajo, Pamekasan dan Kota Surabaya mengalami kerosakan.
Seramai 33,535 orang kini berada di pusat pemindahan sementara terdiri daripada 18,531 dewasa, 10,109 kanak-kanak dan 4,895 warga emas, kata jurucakap BNPB Abdul Muhari dalam kenyataan.
Bencana geologi itu juga menyebabkan kerosakan bangunan kemudahan awam termasuk 91 sekolah, 24 pejabat, lima hospital dan 183 tempat ibadah.
Pemerintah wilayah dan daerah serta agensi penyelamat termasuk polis dan tentera sedang menangani darurat dengan mendirikan khemah serta menyediakan keperluan asas kepada mangsa.
-- BERNAMA
#gempa bumi #gegaran susulan #wilayah Jawa Timur #Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia
;