250 orang digegaskan ke hospital pada tahun baharu gara-gara ikan tongkol

Agensi
Januari 2, 2020 21:24 MYT
Seorang wanita menemani ahli keluarganya yang sedang menerima rawatan di hospital. - Foto: Kompas.com
Bukan sahaja kisah banjir besar Jakarta menjejaskan suasana tahun baharu di Indonesia, di Jember, Jawa Timur pula, sejumlah 250 warganya digegaskan ke hospital sewaktu detik tahun bertukar.
Semuanya gara-gara keracunan ikan tongkol!
Mereka yang mengalami keracunan itu mengadu sakit perut, muntah, lidah terasa gatal dan muka menjadi bengkak.
Bekalan ikan tongkol di kawasan itu tercemar dipercayai akibat kesilapan dalam kaedah menyimpan dan memproses bahan mentah itu.
Portal berita Detik.com melaporkan Ketua Jabatan Perikanan Jember, Mutadlo berkata, siasatan telah dilakukan di pusat pemborong ikan di Puger pada Khamis dan ada kemungkinan cara kendalian hasil tangkapan laut yang salah membuatkan ia rosak sebelum mula dijual.
“Semua jenis ikan bisa boleh menjadi beracun jika salah tatacara penyimpanannya. Ia harus disimpan di tempat sejuk beku. Tidak cukup jika hanya diletak dalam sebuah bekas yang dipenuhi ais. Itu tidak menjamin kesegarannya,” ujar Murtadlo.
Kedua, menurutnyam adalah ketika memproses ikan itu. Hal tersebut bertambah berisiko kerana ikan yang terlibat dalam hal keracunan itu adalah tongkol hitam yang mempunyai kadar histamin yang tinggi.
"Jika hanya dibakar setengah masak, itu adalah berbahaya. Hal ini harus diperhatikan oleh pihak pembeli mahupun penjual,” jelasnya yang merumuskan, dalam urusan jual beli, ada tempoh masa bekalan ikan itu terdedah dalam suhu yang tidak sepatutnya untuk jangka masa yang lama hingga merosakkannya.
Sementara itu, portal berita Kompas melaporkan, Ketua Jabatan Kesihatan Jember Dyah Kusworini mengatakan, pihaknya hingga kini masih belum dapat menyimpulkan secara tepat tentang penyebab mangsa mengalami keracunan.
"Sampel makanan (ikan tongkol) yang dipercayai penyebab keracunan telah dihantar ke makmal di Surabaya, namun keputusannya belum diperoleh,” kata Dyah dalam keterangan bertulis.
#ikan tongkol #Jawa Timur #jember #keracunan ikan tongkol #keracunan makanan
;