25 tahun tragedi Srebrenica: 'Kegagalan ini menghantui kita selamanya' - PBB
Astro Awani
Julai 10, 2020 07:59 MYT
Julai 10, 2020 07:59 MYT
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi penghormatan kepada mangsa pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica dalam ulang tahun ke-25 tragedi kekejaman itu.
Dalam satu pesanan video Antonio Guterres berjanji untuk tidak pernah melupakan mereka.
Kata Guterres, masyarakat antarabangsa telah gagal melindungi rakyat Srebrenica ketika pembunuhan itu berlaku.
“Pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica adalah jenayah kekejaman terburuk di tanah Eropah sejak perang dunia kedua.
“Dua puluh lima tahun kemudian, kita memberi penghormatan kepada ribuan orang yang dibunuh dengan kejam dan berjanji tidak akan melupakan mereka.
"Kita berkongsi kesedihan keluarga mereka, termasuk mereka yang ahli keluarganya masih hilang dan kita menegaskan untuk kembali bersolidariti kepada yang terselamat.
“Satu perempat abad yang lalu, PBB dan masyarakat antarabangsa gagal melindungi rakyat Srebrenica.
"Seperti yang dikatakan oleh Bekas Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan, kegagalan ini akan ‘menghantui sejarah kita selama-lamanya‘,” katanya.
Jelas Guterres lagi, menghadapi masa lalu adalah langkah penting untuk membina semula kepercayaan.
“Rekonsiliasi mesti disokong oleh saling empati dan persefahaman.
"Rekonsiliasi bermaksud menolak pembunuhan beramai-ramai dan jenayah perang serta sebarang usaha untuk memuliakan penjenayah perang yang disabitkan,” ujarnya.
Guterres turut meminta para pemimpin antarabangsa, organisasi dan media untuk berjanji menentang ucapan kebencian dan retorik perpecahan.
Tambahnya, masyarakat antarabangsa tidak boleh berhenti berusaha menuju ke pendamaian sejati di Bosnia Herzegovina.
Pembunuhan beramai-ramai Srebrenica berlaku antara 11 Julai dan 22 Julai pada tahun 1995 dengan lebih 8,000 mangsa korban terutama penduduk Bosnia dibunuh oleh pasukan tentera Serb Bosnia.
#Antonio Guterres
#Bosnia
#kekejaman terburuk di tanah Eropah
#Kofi Annan
#PBB
#Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
#Srebrenica
#tentera
#tentera Serb