25 maut bas terjun gaung di Palembang
Astro Awani
Disember 24, 2019 11:22 MYT
Disember 24, 2019 11:22 MYT
Sekurang-kurangnya 25 maut manakala 13 lagi cedera selepas sebuah bas terjunam ke dalam gaung di Indonesia.
Bas berkenaan jatuh ke dalam gaung setinggi 150 meter di wilayah Sumatera Selatan lewat malam Isnin sebelum ditemukan di dasar sungai, kata jurucakap polis Dolly Gumara.
“Ia terjunam ke dalam gaung selepas melanggar penghadang jalan konkrit.
“Masih ada mangsa yang terperangkap di dalam bas berkenaan,” kata Gumara.
Lapor agensi berita Antara, bas yang dikendalikan oleh syarikat Sriwijaya itu dalam perjalanan ke Dempo Tengah di Bandar Pagaralam, Sumatera ketika nahas berlaku.
Tiada kenderaan lain yang terlibat.
Mangsa yang terselamat dan tercedera kini dihantar ke Hospital Basemah Pagaralam.
Bagaimanapun, masih ada baki mangsa yang terperangkap dan polis sedang berusaha untuk menyelamatkan mereka, tulis laporan itu.
Kemalangan jalanraya merupakan perkara biasa di Indonesia disebabkan oleh faktor kekurangan standard keselamatan serta infrastruktur jalan yang lemah di beberapa kawasan pedalaman.
Pada September lalu, sekurang-kurangnya 21 orang dilapor meninggal dunia selepas sebuah bas terjunam ke dalam gaung di Sukabumi di wilayah Jawa Barat.
Beberapa bulan sebelumnya, 12 orang maut dan ramai yang lain cedera selepas seorang penumpang dikatakan cuba bergelut dengan pemandu sehingga bas berkenaan hilang kawalan di jalan sama di Jawa Barat.
Kemalangan itu turut melibatkan dua kenderaan lain sehingga menyebabkan lori penunda dipanggil ke tempat kejadian.