23 warga Palestin maut dalam serangan udara Israel sasarkan pekerja pengagihan bantuan

Bernama
Mac 20, 2024 20:15 MYT
Sekurang-kurangnya 23 warga Palestin maut dan beberapa orang lagi cedera lewat Selasa dalam satu serangan udara Israel yang menyasarkan sekumpulan penduduk di Bulatan Kuwait, Bandaraya Gaza. - Gambar fail/REUTERS
ISTANBUL: Sekurang-kurangnya 23 warga Palestin maut dan beberapa orang lagi cedera lewat Selasa dalam satu serangan udara Israel yang menyasarkan sekumpulan penduduk di Bulatan Kuwait, Bandaraya Gaza.
Saksi melaporkan jet pejuang Israel menyasarkan satu perhimpunan jawatankuasa yang ditubuhkan untuk memudah cara pengangkutan bantuan ke Bandaraya Gaza, kata WAFA, agensi berita rasmi Palestin, lapor Agensi Anadolu.
Sumber tempatan berkata sejumlah besar mereka yang mati dan cedera terbaring di atas tanah di lokasi kejadian selepas serangan itu, menurut agensi itu.
Tentera Israel melakukan serangan ke atas Gaza sejak 7 Okt 2023. Lebih daripada 31,800 warga Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak maut di wilayah itu dan hampir 74,000 cedera di tengah-tengah kemusnahan besar kawasan penempatan dan infrastruktur serta kekurangan barangan keperluan.
Serangan Israel itu mengakibatkan 85 peratus penduduk Gaza hilang tempat tinggal selain menghadapi sekatan terutamanya ke atas makanan, air bersih dan ubat-ubatan, sementara 60 peratus infrastruktur di wilayah itu telah rosak atau musnah, menurut Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).
Israel didakwa melakukan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Satu perintah sementara pada Januari mengarahkan Tel Aviv untuk menghentikan genosid dan mengambil langkah untuk menjamin bantuan kemanusiaan disediakan kepada orang awam di Gaza.
-- BERNAMA
#Palestin #serangan udara #Israel #Gaza
;