23 terbunuh, 65 cedera dalam serangan udara Israel di selatan Lubnan
Bernama
September 28, 2024 07:15 MYT
September 28, 2024 07:15 MYT
BEIRUT: Sekurang-kurangnya 23 orang terbunuh dan 65 lagi cedera pada Sabtu dalam serangan udara Israel di beberapa kawasan di selatan Lubnan, lapor Xinhua, memetik sumber tentera Lubnan.
Sumber tentera yang enggan dikenali itu berkata pesawat dan dron Israel melancarkan kira-kira 90 serangan pada waktu petang, menyasarkan kira-kira 45 kampung dan bandar di selatan Lubnan.
Serangan itu turut mengenai beberapa klinik dan pusat pertahanan awam, mengakibatkan 12 orang terbunuh dan 15 lagi cedera, kebanyakan mereka adalah doktor, paramedik, jururawat, dan anggota bomba, menurut sumber itu.
Sejak 8 Okt 2023, Hizbullah telah berbalas serangan dengan Israel di sepanjang sempadan Lubnan-Israel sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.
Konfrontasi antara Hizbullah dan Israel meningkat dengan ketara selepas Israel mengumumkan perubahan tumpuan ketenteraan dari Semenanjung Gaza ke hadapan utara, bertujuan untuk berperang dengan Hizbullah sehingga penduduk utara Israel dapat pulang ke rumah dengan selamat.
Pada petang Jumaat, pesawat perang Israel melancarkan serangan ke atas ibu pejabat Hizbullah di Dahieh, pinggir bandar selatan Beirut, dan pemimpin Hizbullah Hassan Nasrallah terkorban. Kematian Nasrallah turut disahkan oleh Hizbullah.
-- BERNAMA