23 tahun lepas hilang anak, kini Jamal al-Durrah hilang adik-beradik pula
Agensi
Oktober 16, 2023 23:37 MYT
Oktober 16, 2023 23:37 MYT
GAZA: Gambar Jamal al-Durrah bersama arwah anaknya, Muhammad al-Durrah pernah tular pada tahun 2000.
Pada waktu itu, anaknya yang berusia 12 tahun maut ditembak tentera Israel meskipun mereka tidak bersenjata malah sedang menyorok di balik bongkah batu, menjerit agar mereka tidak ditembak.
Begitupun, tentera rejim Zionis sedikit pun tidak bersimpati, terus menembak mereka dan insiden itu, yang turut ada rakaman video tular di seluruh dunia.
Pengaruh video itu sungguh kuat malah dianggap sebagai antara video yang menyebabkan kebangkitan pejuang Islam dari Gaza.
Kini, sudah 23 tahun berlalu, wajah Jamal tular semula selepas video memaparkan beliau menyampaikan ucapan terakhir kepada dua beradiknya yang maut angkara Israel.
Dalam video ringkas yang tular, Jamal dilihat mendoakan dua jenazah berbalut kain putih di hadapannya, mendoakan agar perjalanan mereka di akhirat dipermudah.
Dalam video tersebut, wajahnya yang sudah dimamah usia kelihatan sugul sebelum ditenangkan rakan-rakan yang berada di sekitarnya.
Jamal kehilangan saudaranya pada Ahad, 23 tahun selepas anaknya terbunuh, akibat daripada pengeboman dan pembunuhan Israel yang berterusan terhadap Gaza.
Jamal pernah menyatakan dalam temu bual dengan Agensi Anadolu Turki pada 2021, bahawa video anaknya adalah saksi kepada ratusan pembunuhan Israel terhadap rakyat Palestin yang umumnya tidak dilaporkan.
“Syahidnya anak saya tidak dilupakan oleh dunia,ia tidak akan dilupakan,” katanya.