220 cedera dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan di Lubnan

Astro Awani
Januari 29, 2021 14:04 MYT
Penunjuk perasaan bertempur dengan anggota keselamatan di Tripoli, Lubnan, 28 Jan, 2021. REUTERS
SEKURANG-kurangnya 220 orang cedera dalam pertempuran antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan pada Khamis, di daerah Tripoli, utara ibu kota Lubnan, Beirut, lapor AP.
Kejadian turut melibatkan satu kematian, iaitu Omar Taibi, 30 tahun, yang dilaporkan ditembak oleh anggota keselamatan dalam tunjuk perasaan yang berterusan sejak Isnin.
Kekecewaan timbul di tengah-tengah kemerosotan hidup dan langkah penutupan ketat yang dikenakan bagi mengekang penularan COVID-19, yang telah membuatkan krisis ekonomi dan kewangan semakin teruk.
Kemuncak tunjuk perasaan menyaksikan keganasan tercetus di Tripoli, bandar kedua terbesar di Lubnan, dan yang paling miskin.
Puluhan pemuda mengambil bahagian dalam demonstrasi yang berlangsung sehingga malam hari, melempar batu ke arah pasukan keselamatan dan membakar kenderaan.
BACA: COVID-19: Lubnan kuat kuasa sekatan ketiga
Pada Rabu, penunjuk perasaan berulang kali cuba memasuki bangunan Dewan Bandaraya Tripoli.
Ada yang turut melemparkan bom tangan kepada pasukan keselamatan, yang bertindak balas dengan meriam air, gas pemedih mata dan akhirnya, melepaskan tembakan.
Agensi Berita Negara melaporkan 226 cedera termasuk 26 anggota polis.
Pasukan Palang Merah Lubnan berkata, enam orang dibawa ke hospital dan 106 yang lain dirawat di lokasi kejadian.
Pada Khamis, pasukan keselamatan menambah anggota dan memasang kawat berduri di sekitar bangunan perbandaran itu, yang dikenal sebagai Serail.
Terdapat tinggalan dua buah kereta yang terbakar berhampiran kawasan itu.
Kedai dan kafe dibuka, lalu lintas di jalan raya juga kelihatan seperti biasa, walaupun kerajaan mengenakan perintah sekatan.
#ekonomi #kerajaan #cedera #keselamatan #COVID-19 #Penunjuk perasaan #gas pemedih mata #keganasan #bom #tembakan #polis #lubnan #Tripoli
;