22 pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat kebocoran oksigen di hospital
Astro Awani
April 21, 2021 11:25 MYT
April 21, 2021 11:25 MYT
NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 22 pesakit COVID-19 yang berada dalam keadaan kritikal meninggal dunia apabila bekalan oksigen ke mesin ventilator terputus selama kira-kira setengah jam akibat kebocoran.
Kejadian pada Rabu itu berlaku di Dr Zakir Hussain Municipal Hospital di bandar Nashik, India yang khusus merawat pesakit COVID-19.
"Mengikut maklumat yang diperoleh, kebocoran dikesan pada tangki yang membekalkan oksigen kepada pesakit-pesakit ini.
"Gangguan bekalan oksigen mungkin menjadi punca kematian pesakit di hospital ini," kata Menteri Kesihatan Maharashtra Rajesh Tope.
Maharashtra adalah negeri yang paling teruk terjejas di India ketika gelombang kedua jangkitan COVID-19 semakin menular.
Terdapat hampir 4 juta kes koronavirus di negeri ini, dengan lebih 60,000 jangkitan baharu dilapor setiap hari.
#pesakit kritikal
#kebocoran oksigen
#hospital di India
#COVID-19
#Dr Zakir Hussain Municipal Hospital
#koronavirus
#ventilator
#Rajesh Tope