22 pelancong maut, kapal persiaran terbalik
Agensi
Mei 8, 2023 00:37 MYT
Mei 8, 2023 00:37 MYT
KERALA: Sekurang-kurangnya 22 pelancong dilaporkan meninggal dunia selepas sebuah kapal persiaran terbalik di India, pada Ahad.
Memetik Reuters, anggota polis India, Abdul Nazar yang mengesahkan bilangan mangsa memberitahu angka korban dijangka terus meningkat.
Tambahnya, Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan India dan kakitangan Pengawal Pantai India sedang bekerjasama berusaha mencari dan menyelamatkan mangsa.
Dalam pada itu, Associated Press melaporkan kapal itu terbalik di Sungai Poorappuzha di Tanur sebuah lokasi pelancongan terkenal yang terletak di daerah Malappuram, Kerala.
Tambah Nazar, dia memberitahu pihak berkuasa masih menyiasat punca kejadian tersebut.
Tanda-tanda awal menunjukkan bahawa kapal itu terbalik disebabkan oleh kapasiti yang berlebihan.
Sehingga kini, pihak polis masih mencari pemilik kapal bagi siasatan lanjut.
Sementara itu, seorang penumpang kapal, Shafeeq menceritakan detik-detik sebelum kejadian. Menurutnya, kapal dilaporkan berayun dan tidak stabil sejak mula belayar.
"Penumpang yang berada di tingkat atas terjun ke dalam sungai dan berenang untuk menyelamatkan diri," kata Shafeeq.