22 mumia era Firaun diarak di jalanan, Mesir raikan khazanah sejarah

Agensi
April 4, 2021 13:04 MYT
Salah satu mumia diraja Mesir yang diarak di jalanan pada malam minggu menuju ke tempat persemadian baharu. - AP
MALAM hujung minggu di ibu negara Mesir jadi medan festival apabila sebuah perarakan gala dianjurkan, bagi meraikan warisan sejarah mereka.
Dalam limpahan cahaya dan iringan persembahan bunyi-bunyian, perarakan itu sebenarnya adalah acara pemindahan 22 mumia diraja dari pusat kota Kaherah ke tempat persemadian baharu iaitu sebuah muzium di selatan ibu negara itu.
Acara yang dianjur bagi menunjukkan khazanah negara yang kaya itu, bergerak sepanjang laluan pinggir Sungai Nil dari Muzium Mesir, melewati Dataran Tahrir, menuju Muzium Nasional Peradaban Mesir di kejiranan Fustat.
Semua mumia itu dibawa di dalam bekas yang dilengkapi kawalan suhu, diletakkan di atas trak yang dihiasi sayap dan corak motif zaman Firaun dan bergerak dalam pejalanan selama satu jam dari Muzium Mesir.
Rekaan kenderaan itu seumpama perahu zaman dahulu yang digunakan untuk membawa firaun yang mati ke kuburan mereka.
Kebanyakan mumia itu adalah dari kerajaan usang yang pernah memerintah Mesir dari tahun 1539 hingga 1075 Sebelum Masehi, menurut Kementerian Antikuiti.
Itu termasuklah mumia Ramses II yang paling dikenali dan Ratu Hatshepsut (satu-satunya Firaun wanita Mesir) – yang terpaksa memakai janggut palsu untuk mengatasi tradisi bahawa wanita hanya memainkan peranan kedua dalam hierarki diraja.
Mumia lain – 19 firaun dan empat keluarga diraja lagi – telah dikebumi sekitar 3,000 tahun lalu di makam rahsia di Lembah Raja-Raja di tapak Deir el-Bahri. Kedua-dua kawasan itu berdekatan bandar Luxor. Pada kurun ke-19, makam itu buat kali pertama digali semula.
Selepas ekskavasi, semua mumia itu dibawa ke Kaherah dengan bot menerusi Sungai Nil. Ada yang dipamerkan dalam bekas kaca, sementara yang lain disimpan secara bertutup. Mayat mumia Ramses II telah dibawa ke Paris pada 1976 untuk kerja-kerja restorasi oleh saintis Perancis.
Perarakan malam minggu yang dianjur untuk siaran televisyen itu sememangnya usaha Mesir untuk menunjukkan kepada pelancong dunia tentang artifak berharga negara itu. Industri pelancongan Mesir selama ini banyak kali diuji, bermula dengan kegawatan politik pada 2011 yang menggulingkan Hosni Mubarak, dan yang paling terkini, kekangan akibat pandemik COVID-19.
“Perarakan ini adalah acara global yang tidak akan diulang lagi,” ujar Menteri Pelancongan dan Antikuiti, Khaled el-Anany.
Tahap keselamatan diperketat di Kaherah pada malam perarakan itu, dengan beberapa persimpangan jalan raya ditutup bagi memberi laluan kepada kenderaan khas yang membawa mumia-mumia tersebut. Pasukan pengawal juga berarak bersama dengan menaiki kuda, sementara diikuti dengan selebriti Mesir yang dibawa dengan kenderaan lain.
“Sekali lagi, Mesir menakjubkan dunia dengan acara yang tiada tandingan,” kata bintang filem Hussen Fahmy dalam video promosi.
Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sissi, yang emnyambut mumia-mumia itu di muzium baharu, menyatakan dalam akaun Twitter rasminya: "Suasana yang luar biasa ini adalah bukti baharu tentang kehebatan rakyatnya, yang menjaga sebuah peradaban unik bagi sejarah yang amat dalam."
Di muzium baharu itu nanti, 20 mumia akan dipamerkan manakala dua lagi akan disimpan.

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#mesir mumia #Kaherah #Firaun #perarakan #pemindahan mumia #ramses II #warisan sejarah #pelancongan
;