21 peserta maraton di China maut akibat cuaca ekstrim

Agensi
Mei 23, 2021 18:26 MYT
Seramai 70 anggota keselamatan terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan sepanjang malam Sabtu. - Foto REUTERS
BAIYIN: Seramai 21 peserta maraton meninggal dunia selepas berdepan dengan cuaca ekstrim ketika perlumbaan 100 kilometer di barat laut China.
Menurut pasukan keselamatan, peserta-peserta tersebut mengalami masalah selepas suhu merekodkan penurunan secara drastik.
Beberapa peserta dilaporkan mula hilang sekitar jam 1 tengah hari Sabtu waktu tempatan di Yellow River Stone Forest sebelum maraton tersebut dihentikan serta-merta.
Susulan itu, seramai 70 anggota keselamatan terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan sepanjang malam Sabtu.
Pasukan penyelamat turut berdepan kesukaran akibat suhu yang rendah dan keadaan muka bumi yang kompleks.
Menurut media tempatan, peserta terpaksa berlari di laluan yang sempit di kawasan gunung pada altitud yang tinggi.
Beberapa peserta turut dilaporkan mengalami hipotermia akibat penurunan suhu secara drastik.
151 daripada 172 peserta disahkan selamat, dengan lapan daripada mereka mengalami kecederaan.
Pada Ahad, Datuk Bandar Baiyin Zhang Xuchen mengadakan sidang media dan memohon maaf sebagai penganjur acara tersebut.
#China #Baiyin #maraton #hipotermia #Yellow River Stone Forest #suhu ekstrim
;