21 mayat hampir reput ditemukan, korban banjir di Bangladesh cecah 52

Astro Awani
Ogos 31, 2024 10:15 MYT
Seorang lelaki yang duduk di balkoni rumahnya melihat usaha menyelamat mangsa banjir di Bangladesh. - Foto AP
DHAKA: Angka kematian akibat banjir kilat di wilayah timur dan tenggara Bangladesh meningkat kepada 52 orang selepas 21 mayat ditemukan hampir reput pada Jumaat.
Pegawai tempatan berkata, mayat ditemukan selepas air di beberapa bahagian di wilayah itu mula surut.
Setiausaha Kementerian Pengurusan Bencana dan Bantuan, Ali Reza berkata, banjir sejak 21 Ogos menjejaskan 5.4 juta penduduk di 11 daerah timur dan tenggara, menyebabkan 1.2 juta keluarga terkandas.
Keadaan itu memaksa puluhan ribu orang berpindah, manakala tanah ladang dan kolam ikan musnah.
Sementara itu, kerajaan United Kingdom (UK) menyediakan bantuan kemanusiaan tambahan sebanyak 450,000 pound (RM2.5 juta) untuk menyokong lebih 36,000 mangsa terjejas akibat banjir di timur Bangladesh.
Kerajaan peralihan yang diketuai pemenang Nobel Keamanan 2006, Muhammad Yunus meneruskan misi bantuan dan menyelamat.
Minggu lalu, kerajaan itu mencadangkan penubuhan jawatankuasa kawalan banjir selepas bencana menyebabkan kerosakan serta perpindahan besar-besaran di negeri Tripura, timur India dan Bangladesh.
Pihak berkuasa Bangladesh berkata, paras air di Sungai Gumti dan Muhuri yang mengalir melalui wilayah itu meningkat selepas pintu air di Tasik Dumber di Tripura dibuka.
Bangladesh juga mendakwa India melepaskan air dari sungainya tanpa memberi notis terlebih dahulu kepada Dhaka, namun New Delhi nafi melepaskan air dari empangan.
Bangladesh dan India berkongsi perairan sekurang-kurangnya 54 sungai dengan bahagian hulu terletak di India.
#banjir #mayat reput #angka korban #sungai surut
;