21 maut, lebih 6,400 cedera dalam festival api tahunan di Iran
Bernama
Mac 20, 2025 11:15 MYT
Mac 20, 2025 11:15 MYT
Festival yang diraikan pada malam Rabu sebelum Nowruz - Tahun Baharu Parsi - menyaksikan penduduk menyalakan api serta melompat melepasinya, selain bermain bunga api, mercun dan juga bahan letupan buatan sendiri. - Gambar/ Reuters
ISTANBUL/TEHRAN: Sekurang-kurangnya 21 orang maut manakala 6,419 lagi cedera semasa perayaan Chaharshanbe Suri, iaitu festival api tahunan di Iran, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik kenyataan pihak berkuasa pada Rabu.
Festival yang diraikan pada malam Rabu sebelum Nowruz - Tahun Baharu Parsi - menyaksikan penduduk di Tehran dan bandar-bandar lain menyalakan api serta melompat melepasinya, selain bermain bunga api, mercun dan juga bahan letupan buatan sendiri.
Meskipun Jabatan Polis Tehran memberi amaran keras serta menggunakan dron bagi memantau penggunaan bahan letupan, beberapa insiden tetap berlaku hingga mengakibatkan kematian dan kecederaan.
Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Iran mengesahkan 18 daripada mangsa masih kritikal.
Wilayah Tehran, Azerbaijan Timur dan Azerbaijan Barat mencatatkan jumlah kecederaan tertinggi.
-- BERNAMA