21 lagi mayat mangsa pemujaan ditemukan
Bernama
Mei 10, 2023 11:05 MYT
Mei 10, 2023 11:05 MYT
NAIROBI: Polis Kenya pada Selasa menemukan 21 lagi mayat dari kubur di bandar Malindi, yang disyaki dijadikan sebagai tempat untuk melakukan aktiviti pemujaan.
Polis berkata setakat ini 133 mayat telah ditemukan sejak penemuan kubur besar itu di sebidang tanah di hutan Shakahola pada akhir April.
Kebanyakan mangsa terdiri kanak-kanak, lapor Xinhua.
Pada April polis menyerbu kawasan milik paderi dikenali Paul Nthenge selepas menerima maklumat daripada orang awam.
Setiausaha Kabinet di Kementerian Dalam Negeri dan Pentadbiran Negara, Kithure Kindiki, berkata proses menggali kubur itu dibuat dengan berhati-hati untuk melindungi maruah dan privasi keluarga mangsa.
Beliau berkata usaha mencari dan menyelamat sedang dijalankan dengan 65 orang telah diselamatkan dari belukar setakat ini, termasuk dua yang telah diselamatkan sebelum ini.
Presiden Kenya William Ruto menyifatkan insiden itu sebagai keganasan dan telah mengumumkan pembentukan sebuah suruhanjaya siasatan untuk menyiasat kejadian berkenaan.
-- BERNAMA