21 lagi mangsa nahas MH17 dikenal pasti
Astro Awani
Ogos 8, 2014 23:53 MYT
Ogos 8, 2014 23:53 MYT
Pakar forensik Belanda telah mengenal pasti 21 lagi mangsa nahas Malaysia Airlines MH17, menurut kenyataan kerajaan Belanda.
Walau bagaimanapun, pakar penyiasat dikatakan tidak dapat meneruskan penyiasatan kerana pergolakan di lokasi nahas.
Penerbangan MH17, menggunakan pesawat Boeing 777-200ER, dipercayai ditembak jatuh oleh peluru berpandu permukaan ke udara ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada Julai 17.
Pesawat dengan 298 penumpang dan anak kapal terhempas di wilayah Donetsk, bahagian timur Ukraine, sebuah wilayah yang dikawal oleh puak pemberontak pro-Rusia.
Lebih 220 keranda mangsa nahas tersebut telah diterbangkan ke Belanda, negara yang mengetuai usaha mengenal pasti mayat.
Namun, hanya identiti dua mayat sudah dikenal pasti.
Daripada 21 mayat yang baru dikenal pasti, 16 merupakan warga Belanda, dua Malaysia, seorang Kanada dan seorang warga Britain, menurut Kementerian Perhakiman Belanda.
Perdana Menteri Belanda Mark Rutte pada Rabu berkata pencarian untuk bahagian badan mangsa di lokasi nahas dihentikan buat sementara waktu kerana keadaan keselamatan yang semakin merosot akibat pertempuran antara tentera Ukraine and puak pemisah pro-Rusia.
Berikutan itu, 142 polis dari Belanda, Australia dan Malaysia akan diterbangkan ke Belanda pada Jumaat.