2023 tahun yang mencabar bagi ASEAN - Pakar

Bernama
Januari 12, 2023 05:00 MYT
Selaku Pengerusi ASEAN pada 2023, Indonesia perlu menyelaras perjanjian perdagangan seperti CPTPP dan RCEP bagi mengoptimumkan manfaat blok itu.
SINGAPURA: 2023 akan menjadi tahun yang sukar bagi ASEAN memandangkan blok itu mungkin berhadapan banyak cabaran pada masa akan datang, menurut Forum Unjuran Serantau 2023 (ROF 2023).
Bercakap pada forum anjuran Institut Kajian Asia Tenggara (ISEAS-Yusof Ishak) pada Selasa, Sharon Seah, Penyelaras Pusat Kajian ASEAN dan Program Perubahan Iklim di Asia Tenggara di institut itu berkata antara cabaran itu ialah pilihan raya di Malaysia dan Filipina pada 2022; pilihan raya di Kemboja, Thailand dan Myanmar pada 2023 manakala cabaran jangka panjang melibatkan usaha untuk mengekalkan perpaduan dan peranan utama ASEAN dalam dunia yang berubah.
Oleh itu, blok berkenaan perlu merealisasikan perpaduan dan solidariti serta mempromosi versi "Gambaran ASEAN mengenai Indo-Pasifik" yang lebih jelas.
Beliau juga menekankan cabaran terbesar bagi ASEAN ialah prospek ekonomi global yang sangat sukar pada 2023, menurut Agensi Berita Vietnam (VNA).
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menurunkan unjuran pertumbuhan globalnya kepada 2.7 peratus.
Kira-kira satu pertiga daripada ekonomi dunia diunjur menuju kemelesetan tahun ini manakala baki dua pertiga lagi turut bergelut untuk menghadapi gangguan bekalan, inflasi serta kenaikan harga.
Seah berkata selaku Pengerusi ASEAN pada 2023, Indonesia perlu menyelaras perjanjian perdagangan seperti Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bagi mengoptimumkan manfaat blok itu kerana perdagangan merupakan bidang penting bagi ASEAN.
Dengan tema "Memahami Pemacu Perubahan dalam dunia yang terganggu", ROF 2023 memfokuskan perbincangan mengenai kesan konflik dunia terhadap persekitaran keselamatan di Asia Tenggara, pemacu perubahan dan kedudukan ekonomi serantau.
ROF ialah persidangan tahunan anjuran institut yang berpangkalan di Singapura itu untuk menganalisis arah aliran dan isu utama yang akan memberi impak terbesar kepada Asia Tenggara dalam jangka pendek dan sederhana selain membuat unjuran mengenai kedudukan negara serantau.
-- BERNAMA
#ASEAN #Forum Unjuran Serantau 2023 #Indo-Pasifik #2023 tahun mencabar
;