2023 tahun terburuk kanak-kanak dalam konflik senjata - Laporan PBB

Astro Awani
Jun 26, 2024 23:45 MYT
Gamba berkata, pelanggaran pencabulan itu termasuk membunuh, mencacatkan kanak-kanak dan diikuti dengan pengambilan dan penggunaan, penafian akses kemanusiaan dan penculikan. - Foto fail
NEW YORK: Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan 2023 adalah tahun terburuk untuk kanak-kanak dalam konflik bersenjata dalam hampir sedekad.
Wakil Khas PBB, Virginia Gamba memberitahu Majlis Keselamatan, sebanyak 32,990 pencabulan serius berlaku terhadap 22,557 kanak-kanak pada 2023.
“Laporan Setiausaha Agung menggambarkan dengan jelas bahawa kita perlu menangani cabaran keamanan dan keselamatan baharu dengan memberi fokus kepada kanak-kanak.
"Kita mesti mengingatkan diri kita tentang kepentingan mematuhi prinsip undang-undang dan moral yang sangat asas yang pernah dipersetujui oleh masyarakat antarabangsa seperti yang dirangka dalam Konvensyen Hak Kanak-kanak dan protokolnya yang berkaitan.
"Kanak-kanak mesti dilindungi daripada konflik buatan manusia jika kita berhasrat untuk memecahkan kitaran keganasan yang telah meletakkan dunia di ambang kepupusan berkali-kali sebelum ini,” katanya.
Gamba berkata, pelanggaran pencabulan itu termasuk membunuh, mencacatkan kanak-kanak dan diikuti dengan pengambilan dan penggunaan, penafian akses kemanusiaan dan penculikan.
Laporan PBB menunjukkan 5,301 kanak-kanak terbunuh dan 6,348 lagi cedera, menandakan peningkatan sebanyak 35 peratus berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Laporan itu juga menunjukkan pengambilan dan penggunaan kanak-kanak juga meningkat pada 2023 dengan 8,655 kes disahkan di mana kira-kira 15 peratus adalah kanak-kanak perempuan yang turut menanggung beban pelbagai pelanggaran semasa direkrut atau digunakan.
Penculikan kanak-kanak juga berterusan pada tahap tinggi, dengan 4,356 mangsa kanak-kanak disahkan pada 2023.
#Kanak-kanak #tahun terburuk #pencabulan #PBB