2022 tahun kelima paling panas - NASA
Bernama
Januari 13, 2023 14:22 MYT
Januari 13, 2023 14:22 MYT
LOS ANGELES: Purata suhu permukaan bumi pada 2022 yang sama seperti 2015 merupakan tahun kelima paling panas dalam rekod, menurut analisis yang dikeluarkan Khamis oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) AS, lapor Xinhua.
Berdasarkan trend pemanasan jangka panjang planet ini, suhu global pada 2022 merekodkan 1.6 darjah Fahrenheit (0.89 darjah Celsius) melebihi purata tempoh asas NASA (1951-1980), menurut saintis di Institut Goddard untuk Kajian Angkasa (GISS), pusat terkemuka untuk pemodelan iklim NASA.
"Trend pemanasan ini membimbangkan," kata Pentadbir NASA Bill Nelson. "Iklim pemanasan kita sudah menunjukkan tanda seperti kebakaran hutan yang semakin meningkat, taufan semakin kuat, kemarau yang mencetuskan malapetaka selain peningkatan paras laut."
"NASA kini memperkukuh komitmen untuk melaksanakan tugas kami bagi menangani perubahan iklim. Balai Cerap Sistem Bumi kami akan menyediakan data terkini untuk menyokong pemodelan iklim, analisis dan ramalan untuk membantu manusia menghadapi perubahan iklim planet ini," katanya .
Sembilan tahun lepas merupakan tahun paling panas sejak rekod moden mula dikumpul pada 1880. Ini bermakna Bumi pada tahun 2022 lebih panas kira-kira 2 darjah Fahrenheit (kira-kira 1.11 darjah Celsius) daripada purata akhir abad ke-19, menurut NASA.
"Trend pemanasan ini berpunca daripada aktiviti manusia yang menyumbang sejumlah besar pelepasan gas rumah hijau ke atmosfera serta impak planet jangka panjang yang berterusan," kata Pengarah GISS Gavin Schmidt.
-- BERNAMA